Skip to main content

Malaysia

PDRM diarah utamakan siasatan setiap aduan komplot jatuhkan kerajaan - Saifuddin

BACHOK, 1 Mac -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyantuni Klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bachok pada Majlis Bersahur bersama Klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bachok sempena Program Penerapan Nilai-nilai Murni awal pagi ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Saifuddin pada Majlis Bersahur bersama Klien Puspen Bachok sempena Program Penerapan Nilai-nilai Murni awal pagi tadi. - Gambar/ Bernama

BACHOK: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah untuk memberikan keutamaan dan fokus sepenuhnya dalam membuka kertas siasatan bagi setiap aduan yang diterima berkaitan dakwaan wujud komplot untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ketetapan itu merupakan keputusan yang telah dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lepas, yang mengehendaki PDRM menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima sebarang bentuk aduan daripada mana-mana pihak.

Advertisement

Beliau berkata proses siasatan telah mula digerakkan berikutan aduan yang diterima, selaras dengan kenyataan yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berhubung kes itu baru-baru ini.

“Proses siasatan kes ini masih berada di peringkat awal. Setiap aduan yang diterima akan menjadi asas penting bagi PDRM dalam menentukan hala tuju siasatan yang lebih terperinci.

“Daripada aduan itu, ia memberikan asas kepada PDRM untuk menentukan hala tuju siasatan, termasuk menentukan di bawah seksyen dan peruntukan undang-undang apa kes ini akan disiasat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan dakwaan cubaan untuk menjatuhkan kerajaan selepas menyantuni klien wanita AADK sempena Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Menteri Dalam Negeri di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik, di sini, awal pagi ini.

Saifuddin Nasution berkata ia juga penting bagi mengenal pasti motif kejadian serta hasil akhir kepada sesuatu siasatan tersebut. 

Mohd Khalid sebelum ini dilaporkan berkata PDRM menerima laporan berhubung dakwaan gerakan yang melibatkan kerjasama antara seorang tokoh tempatan berpengaruh dengan sebuah agensi media antarabangsa pada Khamis. 

Siasatan kini dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan. 

 

-- BERNAMA

Must Watch Video