MALAYSIA

PDRM hargai pelaksanaan BUDI95, bukti kerajaan prihatin - KPN

Bernama 27/09/2025 | 09:15 MYT
Mohd Khalid berkata langkah itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara, khususnya melalui sokongan bersepadu kepada PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada kerajaan MADANI atas pelaksanaan inisiatif subsidi petrol BUDI MADANI RON 95 (BUDI95) yang bermula hari ini.


Ringkasan AI
  • PDRM menyambut baik pelaksanaan subsidi BUDI95 yang bermula hari ini, dengan Ketua Polis Negara menyifatkan langkah itu sebagai bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara melalui sokongan kepada PDRM dan ATM.
  • Seramai 300,000 anggota tentera dan polis menjadi kumpulan pertama menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran RM2.05, sebelum diperluas kepada penerima STR dan semua warganegara berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.
  • Melalui inisiatif BUDI95, rakyat Malaysia layak membeli sehingga 300 liter petrol RON95 sebulan pada kadar subsidi, sebagai usaha kerajaan MADANI untuk meringankan beban rakyat dan menyokong mobiliti golongan berpendapatan rendah serta pasukan keselamatan.


Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata langkah itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara, khususnya melalui sokongan bersepadu kepada PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"PDRM yakin inisiatif ini akan memberi nilai tambah kepada keberkesanan operasi serta memperkukuh kerjasama strategik antara agensi keselamatan demi kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis merupakan kumpulan pertama menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 sen seliter di bawah inisiatif BUDI95 berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Sept lepas.

Inisiatif BUDI95 akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mula menikmatinya esok, sebelum diperluas kepada warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif mulai 30 Sept ini.

Melalui inisiatif itu, rakyat Malaysia layak membeli hingga 300 liter petrol RON95 sebulan pada kadar RM1.99 seliter.

-- BERNAMA



#BUDI95 #PDRM #Mohd Khalid Ismail #Kerajaan Madani