PDRM hasrat tubuh jabatan baharu fokus jenayah digital dan teknologi - KPN

Bernama
Mac 25, 2024 08:00 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika berucap pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhasrat menubuhkan jabatan baharu berteraskan teknologi siber dengan memberi fokus kepada cabaran jenayah digital dan teknologi yang semakin kompleks.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata PDRM berharap kerajaan mempertimbangkan hasrat tersebut agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara.
Beliau berkata teknologi digital telah mengubah revolusi dunia dan landskap kehidupan seharian malah menyumbang kepada kepelbagaian trend jenayah baharu, termasuklah penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
"Tugas dan tanggungjawab PDRM dalam konteks jenayah kini semakin mencabar dan kompleks. Untuk itu, dalam usaha memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan, PDRM perlulah mempersiapkan jabatan dengan aset dan peralatan seiring dengan kemajuan teknologi kepolisan moden," katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini hari ini.
Peringatan Hari Polis ke-217 disambut warga PDRM di seluruh negara merangkumi setiap Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah.
Sambutan di PULAPOL diadakan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
-- BERNAMA
#PDRM #Razarudin Husain #jabatan baharu #teknologi siber