MALAYSIA

PDRM jamin tindakan profesional, telus dalam isu perolehan - KPN

Umavathi Ramayah 16/01/2026 | 14:55 MYT
Mohd Khalid berkata PDRM mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung urusan perolehan melibatkan pasukan itu. - Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan segala tindakan yang perlu secara profesional, telus dan berintegriti, selaras dengan undang-undang, dasar serta arahan yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, PDRM mengambil maklum sepenuhnya kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perolehan melibatkan pasukan keselamatan itu.

"PDRM turut memastikan setiap proses yang dilaksanakan mematuhi prinsip tadbir urus yang baik demi memelihara kepentingan awam serta mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap institusi keselamatan negara," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan semua keputusan perolehan yang membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM serta agensi berkaitan yang terpalit dengan isu rasuah dibekukan sementara.

Katanya, pembekuan itu dilaksanakan sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran prosedur berlaku.

Menurut Perdana Menteri lagi, kerajaan melalui kementerian berkaitan akan meneliti dan menyusun semula semua proses perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada terus diperkukuh.

#PDRM #perolehan #polis #tadbir urus #Mohd Khalid Ismail