KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan mengenai sidang media khas oleh Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ibrahim Darus berhubung pelaksanaan suatu operasi pasukan itu yang tular di media sosial baru-baru ini.
Setiausaha Polis Malaysia Datuk Mohamad Noor Yusof Ali berkata dakwaan disebarkan menerusi sebuah akaun Facebook itu palsu dan Ibrahim tidak pernah mengadakan sebarang sidang media di Bukit Aman atau mengeluarkan kenyataan tersebut.
“Kandungan yang disebarkan telah menggunakan imej dan identiti palsu serta kedudukan Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara bagi mewujudkan gambaran seolah-olah kenyataan itu pendirian rasmi PDRM.
“Perbuatan sedemikian berpotensi mengelirukan masyarakat, mencetuskan salah faham serta menjejaskan kredibiliti individu dan institusi PDRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, Mohamad Noor berkata PDRM telah membuat laporan bagi siasatan dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang menghasilkan dan menyebarkan kandungan tersebut termasuk motif serta tujuannya.
Beliau berkata PDRM memandang serius tindakan menghasilkan, memanipulasi atau menyebarkan kandungan palsu dengan menggunakan identiti, imej atau kedudukan pegawai dan anggota pasukan bagi mewujudkan gambaran ia maklumat rasmi.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai atau menyebarkan sebarang maklumat yang belum ditentukan kesahihannya, sebaliknya membuat pengesahan menerusi saluran rasmi PDRM serta sumber berita yang sahih,” katanya.
Mohamad Noor turut menyeru masyarakat supaya menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab dan tidak menyebarkan kandungan yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan ketenteraman awam.
-- BERNAMA