PDRM pantau pembebasan Abu Bakar Bashir

Astro Awani
Januari 29, 2019 08:51 MYT
Abu Bakar (gambar) merupakan dalang insiden pengeboman kelab malam di Kuta, Bali pada tahun 2002 yang mengorbankan 202 nyawa, kebanyakannya pelancong asing. - AP
Abu Bakar Bashir akan dipantau rapi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika ulama radikal Indonesia itu dibebaskan oleh kerajaan Indonesia.
Kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, ini adalah kerana di Malaysia juga terdapat elemen kegiatan Jemaah Islamiah (JI).
"Pemantauan Abu Bakar Bashir akan dibuat bagi memastikan dia tidak terlibat dalam usaha merekrut atau menghidupkan kembali perjuangan lampaunya berkaitan dengan JI.
"Kes JI di negara ini mempunyai kaitan dengan kegiatan beliau sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis serah terima tugas, pemakaian pangkat pegawai kanan polis dan penganugerahan pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.
Mohamad Fuzi berkata, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman akan berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia agar pembebasan Abu Bakar tidak menimbulkan masalah keselamatan baharu.
Sebelum ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo telah bersetuju untuk melepaskan Abu Bakar yang berusia 80 tahun atas alasan kemanusiaan.
Namun, Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum, dan Keamanan Indonesia, Wiranto, dalam sidang akhbar tergempar beberapa hari selepas itu, berkata Jokowi telah meminta beliau untuk menyelaraskan kajian terhadap semua aspek pelepasan yang dirancang.
Abu Bakar, dalang insiden pengeboman kelab malam di Bali pada tahun 2002 dan pelampau di Indonesia, dijatuhi hukuman 15 tahun penjara pada tahun 2011 kerana membantu mendirikan sebuah kem latihan gaya tentera di Aceh untuk kumpulan militan.
#Abu Bakar Bashir #fuzi harun #Ketua Polis Negara #PDRM #Polis Diraja Malaysia