Skip to main content

Malaysia

PDRM percepat bayaran faedah, kebajikan keluarga anggota maut renjatan elektrik

BUKIT KAYU HITAM, 30 Julai -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi penerangan ketika sidang media pada Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti Felda Sihat Kedah Sejahtera di Felda Bukit Tangga, hari ini._BERNAMA
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu bertujuan meringankan beban isteri dan seorang anak lelaki Allahyarham yang berusia dua tahun. - Bernama
Advertisement

KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempercepat urusan bayaran faedah dan kebajikan layak diterima waris Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim yang maut dipercayai akibat renjatan elektrik di Beaufort, Sabah pada minggu lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu bertujuan meringankan beban isteri dan seorang anak lelaki Allahyarham yang berusia dua tahun.

“Pengarah Pengurusan Bukit Aman diminta mempercepat semua bentuk bayaran yang layak diterima keluarga Allahyarham bagi meringankan beban mereka.

“Saya sampaikan jaminan kepada isteri dan keluarga bahawa kesemua perkara yang berkaitan akan dipercepat, tidak melalui proses biasa,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga Mohamad Nur Hafiz di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mohd Azhar Hamin. 

“Kami hadir untuk menzahirkan simpati daripada seluruh pasukan kepada keluarga Allahyarham. Setiap kehilangan anggota, tanpa mengira kedudukan atau pangkat adalah kehilangan besar buat polis,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata sumbangan yang disampaikan merangkumi bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Kelantan serta bayaran takaful caruman Allahyarham sebagai anggota Koperasi Polis.

Beliau berkata jumlah keseluruhan sumbangan dan bayaran melebihi RM200,000 dengan Mohamad Nur Hafiz turut menamakan isteri Fatimah Shahira dan ibunya sebagai penerima pencen.

Selain itu, beliau berkata isteri Allahyarham boleh menghubungi kontinjen negeri jika memerlukan bantuan berkaitan kebajikan anak dan keluarga pada masa akan datang.

Pada Khamis lepas, Mohamad Nur Hafiz, 29, Koperal Chiu Teck Siong, 40, dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26, maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengalihkan galah besi di luar Balai Polis Weston berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Weston, Beaufort, Sabah.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement