[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

PDRM pergiat usaha kesan bekas suami Indira Gandhi - KPN

Bernama 26/11/2025 | 12:45 MYT
MOHD KHALID: Pada masa yang sama, semakan turut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia bagi mengesahkan status Sekatan Perjalanan Khas (SPK) yang masih berkuat kuasa terhadap individu berkenaan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempergiat usaha mengesan keberadaan bekas suami kepada M. Indira Gandhi dan anaknya seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap institusi kehakiman.


Ringkasan AI
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempergiat usaha mengesan bekas suami Indira Gandhi dan anaknya berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
  • Siasatan dilakukan terhadap dakwaan individu yang menggunakan identiti suami Indira Gandhi untuk mendapat bantuan kerajaan serta semakan status Sekatan Perjalanan Khas (SPK) masih berkuat kuasa.
  • PDRM menyeru individu yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan suspek untuk membantu siasatan dan menegaskan tindakan profesional, telus dan berintegriti dalam menegakkan keadilan.


Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata siasatan lanjut juga dilakukan terhadap dakwaan kewujudan individu yang disyaki menggunakan identiti suami Indira Gandhi iaitu K. Pathmanathan atau Muhammad Riduan Abdullah untuk menerima pelbagai bentuk bantuan kerajaan seperti Budi MADANI RON95 (BUDI95) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

"Pada masa yang sama, semakan turut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia bagi mengesahkan status Sekatan Perjalanan Khas (SPK) yang masih berkuat kuasa terhadap individu berkenaan.

"Sejak 2021, sebanyak 18 sesi pengurusan kes telah diadakan di Mahkamah Tinggi Ipoh berkaitan perkara ini dan sesi pengurusan seterusnya ditetapkan pada 27 Feb 2026," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata setiap tindakan yang diambil dalam mengendalikan kes berkenaan dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti demi memastikan keadilan ditegakkan mengikut lunas undang-undang.

Sehubungan dengan itu, Mohd Khalid menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan.

PDRM turut menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan suspek untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran.

Pada Jumaat lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan PDRM untuk memperluas pencarian bekas suami Indira Gandhi, yang didakwa gagal menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya.

Pada 2009, Muhammad Riduan menukar agama tiga anak mereka kepada Islam tanpa persetujuan Indira Gandhi dan memohon hak penjagaan melalui Mahkamah Syariah.

Pada 29 Jan 2018, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa penukaran agama ketiga-tiga anak kepada Indra Gandhi oleh bekas suaminya Muhammad Riduan adalah batal dan tidak sah.

Mahkamah Persekutuan juga mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya.

-- BERNAMA


#Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail #PDRM #bekas suami Indira Gandhi #giat usaha kesan