MALAYSIA

PDRM perkukuh keselamatan menjelang sidang kemuncak ASEAN ke-47

Faida Rahim 23/10/2025 | 02:20 MYT
Mohd Khalid menghadiri sesi raptai delegasi sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada pagi Khamis. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menghadiri sesi raptai delegasi sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pagi Khamis, tepat jam 9.30 pagi.


Ringkasan AI
  • Ketua Polis Negara hadir sesi raptai Sidang Kemuncak ASEAN, simbol komitmen tinggi PDRM terhadap keselamatan acara.
  • Risikan awal, pasukan khas dan pemantauan berterusan digerakkan menjelang sidang 2628 Oktober yang bakal dihadiri pemimpin serantau dan antarabangsa.
  • Mohd Khalid seru rakyat patuh undang-undang dan tunjuk semangat perpaduan demi kejayaan penganjuran serta imej negara yang aman.


Kehadiran beliau mencerminkan komitmen tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang persidangan berprestij itu.

Sidang kemuncak yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober akan menghimpunkan pemimpin utama negara-negara ASEAN serta delegasi antarabangsa, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan pemimpin dari China, Jepun serta negara serantau.

Sebagai tuan rumah, Malaysia memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang acara.

PDRM telah melaksanakan pelbagai langkah proaktif, termasuk risikan awal, penempatan pasukan khas di lokasi strategik dan pemantauan berterusan bagi memastikan tahap keselamatan kekal optimum.

Orang ramai turut dinasihatkan agar mematuhi undang-undang dan merancang perjalanan dengan baik sepanjang tempoh persidangan.

Dalam kenyataan terdahulu, Mohd Khalid menegaskan bahawa PDRM komited mempertingkat kawalan keselamatan di seluruh ibu negara menjelang sidang kemuncak, yang disifatkan sebagai platform penting memperkukuh kerjasama serantau dan memupuk persefahaman demi keamanan serta kemakmuran bersama.

Beliau turut menekankan bahawa kejayaan penganjuran sidang kemuncak bergantung kepada kerjasama dan semangat perpaduan rakyat Malaysia dalam mempamerkan imej negara yang aman dan berdaulat.





#ASEAN #Donald Trump #PDRM #Mohd Khalid Ismail