KUALA LUMPUR: Seramai 17 kanak-kanak warga Jordan yang dipercayai dieksploitasi untuk tujuan mengemis diselamatkan polis menerusi Op Pintas Kasih di sekitar Bukit Bintang dan Chow Kit, di sini Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, polis turut menahan 15 individu warga Jordan termasuk lapan wanita berusia 21 hingga 49 tahun, yang dipercayai ahli sindiket pemerdagangan manusia itu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan membawa kanak-kanak berusia antara tiga bulan dan 14 tahun itu untuk mengemis di sekitar Kuala Lumpur dengan hasil kutipan harian dianggarkan RM500 hingga RM1,000.
"Siasatan lanjut turut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud hubungan kekeluargaan antara kanak-kanak yang diselamatkan dengan semua individu yang ditahan," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Kumar menambah, semakan mendapati sindiket berkenaan memasuki Malaysia secara sah menggunakan Pas Lawatan Sosial yang membenarkan mereka berada di negara ini selama 90 hari.
Bagaimanapun, kata beliau, lima individu daripada mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.
Jelas beliau, operasi itu membabitkan 13 serbuan termasuk di tujuh serbuan di kawasan kaki lima dan enam serbuan di premis penginapan sekitar Bukit Bintang dan Chow Kit.
"Kita turut merampas 14 telefon bimbit pelbagai jenama dan model, 32 pasport Jordan, empat kereta sorong bayi serta wang tunai pelbagai mata wang berjumlah RM24,445, selain AS$100 (RM404), 100 Euro (RM471) dan 635,000 rupiah (RM145)," ujarnya.
Kumar memberitahu, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Siasatan ke atas mereka dilakukan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670), Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta peruntukan berkaitan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kumar menegaskan, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengeksploitasi kanak-kanak dan golongan rentan demi keuntungan serta akan terus mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras rangkaian pemerdagangan orang.