PDRM siasat video 'Code Black' sokong doktor kontrak

Nailah Huda
Julai 14, 2021 11:37 MYT
Semalam, MMA membantah siasatan yang disasarkan terhadap pegawai perubatan yang menyokong kempen bagi memperjuangkan hak pekerja sektor kesihatan negara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung satu video tular di media sosial yang menyokong pegawai perubatan berstatus kontrak dalam perkhidmatan awam melalui kempen Code Black.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam satu kenyataan hari ini berkata kertas siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
“Klip video berdurasi enam minit 49 saat tersebut memaparkan rakaman ucapan seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Dr Han @ Gigi Han yang mempertikaikan skim pelantikan doktor secara kontrak dalam sektor perkhidmatan awam.
“Melalui rakaman video ini juga, beliau menyeru orang ramai agar mengambil bahagian dengan menukar gambar profil di media sosial masing-masing dengan warna hitam atau warna monokrom mulai 1 Julai 2021 hingga 12 Julai 2021; dan memuat naik gambar dengan hashtag #SaveMYcontractHCW, #CodeBlackMY dan #BlackMondayMY pada 12 Julai," katanya.
Menurut Abd Jalil, gerakan Code Black bertujuan untuk memberi sokongan kepada pegawai perubatan berstatus kontrak yang dikatakan menuntut untuk diberi keistimewaan seperti pegawai perubatan berstatus tetap.
“Individu tersebut juga mendakwa sistem yang diamalkan oleh kerajaan boleh menjejaskan kehidupan semua rakyat Malaysia dan juga perkhidmatan kesihatan selama enam dekad sejak Malaysia mencapai kemerdekaan," katanya.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 501(C) Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana video itu didapati berniat menghasut mana-mana golongan melakukan suatu kesalahan.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 4588) kerana didapati menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar, katanya.
Abd Jalil memberi amaran tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.
Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dalam satu kenyataan membantah siasatan yang disasarkan terhadap pegawai perubatan yang menyokong kempen bagi memperjuangkan hak pekerja sektor kesihatan negara.
“Pegawai perubatan, sama seperti mana-mana rakyat Malaysia yang lain, berhak untuk berjuang walaupun hanya dengan menonjolkan warna,” tegas Presiden MMA Datuk Dr Subramaniam Muniandy dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Sekretariat Gerakan Hartal Doktor Kontrak dalam satu kenyataan awal hari ini juga menyuarakan kebimbangan susulan beberapa pegawai perubatan disiasat selepas menunjukkan sokongan kepada kempen Code Black di media sosial.
“Semua jenis gangguan oleh pihak berkuasa harus dihentikan segera dan pekerja-pekerja sektor kesihatan yang berada di barisan hadapan menentang COVID-19 perlu dilayani dengan hormat dan maruah," katanya.
Mereka turut menegaskan bahawa sokongan terhadap Gerakan Hartal Doktor Kontrak dan kempen Black Monday oleh MMA tidak melanggar undang-undang dan sebarang usaha untuk menyekat suara hak doktor kontrak adalah pelanggaran terhadap hak asasi manusia.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata isu berhubung rayuan pegawai perubatan kontrak untuk diserapkan ke dalam perkhidmatan awam akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.
Jelasnya, kehendak itu dilihat menyebabkan kos tinggi iaitu sebanyak RM2 bilion sekaligus berdepan sedikit batasan.
#Polis Diraja Malaysia #PDRM #polis #Siasat #video #Doktor #hartal #Code Black #Black Monday #KKM #kontrak #mogok #kempen #media sosial