PDRM, SPRM kongsi maklumat siasatan pemimpin politik terlibat aktiviti judi dalam talian

Astro Awani
Jun 16, 2023 15:28 MYT
Acryl Sani berkata, pihaknya sentiasa memantau kegiatan yang menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang berkongsi maklumat siasatan berhubung terdapat penglibatan pihak politik dalam aktiviti judi dalam talian.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sentiasa memantau kegiatan yang menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara.
"PDRM telah menerima maklumat bahawa terdapat penglibatan pihak (pemimpin) politik dalam aktiviti judi dalam talian.
"PDRM mengulangi komitmen yang tidak akan membiarkan kegiatan yang menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara serta segala langkah yang diambil adalah berteraskan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Khamis mengesahkan kegiatan perjudian dalam talian dinaungi pemimpin politik.
Menurutnya, elemen itu menjadi kekangan terbesar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PRDM serta kerajaan secara keseluruhannya dalam usaha membanteras kegiatan itu.
#judi dalam talian #PDRM #SPRM #Kementerian Dalam Negeri