KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap 22 lelaki dipercayai ketua serta anggota dua kumpulan kongsi gelap yang bergiat aktif di sekitar Puchong, Kapar, Serdang dan Klang dalam operasi khas Op Cantas Sinecura.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed kesemua yang ditangkap dalam operasi pada Rabu itu merupakan anggota kumpulan Geng 18 Dato' Suresh dan Geng 21 Sunder.

Beliau menjelaskan kesemua suspek yang ditangkap terdiri daripada 12 orang dari Geng 18 Dato'Suresh manakala 10 lagi daripada Geng 21 Sunder yang berusia antara 35 hingga 48 tahun.

"Hasil sisatan mendapati kesemua suspek mempunyai satu hingga sembilan rekod kesalahan jenayah lampau dengan majoriti suspek mempunyai tiga hingga lima rekod kesalahan jenayah lampau.

"Antara kes-kes tersebut adalah seperti mendatangkan kecederaan, gaduh gempar, samun, dadah dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Huzir menjelaskan kesemua mereka disiasat di bawah Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).

Beliau juga memaklumkan Op Cantas Sinecura ini dijalankan ekoran video satu kejadian pada 25 November tahun lepas yang tular.

Menerusi video tersebut sekumpulan lelaki dipercayai Geng 18 Dato' Suresh merusuh dan mencederakan mangsa di sebuah pusat hiburan di Brickfields di Kuala Lumpur.

"Seorang anggota polis yang secara kebetulan menjalankan tugas risikan di pusat hiburan berkenaan telah dikepung, ditengking dan dipukul oleh kumpulan tersebut," katanya lagi.

Huzir menjelaskan dalam satu kejadian berasingan di Kapar, Selangor pada 21 Januari tahun lepas, sekumpulan lelaki Geng 21 Sunder bersenjatakan parang, kayu dan besi telah menyerang seorang mangsa sehingga mendatangkan kecederaan serius.

"PDRM turut mengesan beberapa video klip yang menunjukkan tindakan ganas serta agresif kumpulan berkenaan. Hasil siasatan juga mendapati terdapat 10 laporan polis yang melibatkan kumpulan tersebut," katanya.

Beliau memberitahu, penularan video tersebut telah menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

Huzir menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dengan kongsi gelap serta akan mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan yang melanggar undang-undang dan cuba mengganggu gugat ketenteraman awam.