KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata beliau dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berniat jahat dan cuai untuk menahan bekas suami guru tadika M. Indira Gandhi serta mengembalikan anak perempuan mereka yang dilarikan lelaki mualaf itu.

Abdul Hamid, 65, berkata beliau telah mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menjejaki K.Patmanathan, atau nama Islamnya Muhammad Riduan, dan melakukan pelbagai usaha termasuk memohon bantuan secara rasmi dari negara jiran bagi mengenal pasti lokasi lelaki itu.

“Pada 2019, berdasarkan sumber dan siasatan yang dilaksanakan oleh pihak PDRM, saya mengetahui secara am kemungkinan lokasi Patmanathan berada iaitu di Thailand. Bagaimanapun, usaha untuk mengesan dan menangkap beliau masih diteruskan,” katanya menerusi pernyataan saksi di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Indira menyaman Ketua Polis Negara (KPN), PDRM, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan berhubung kegagalan menangkap Patmanathan selepas lelaki itu melarikan anak mereka, Prasana Diksa.

Abdul Hamid berkata semasa merasmikan satu majlis berhubung Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman pada 28 Jan 2020, beliau telah mengeluarkan kenyataan bahawa PDRM telah dan sedang berusaha memuktamadkan kes itu.

“Saya telah memberikan jaminan bahawa pihak PDRM tidak akan membiarkan kes ini berterusan dan sedang berusaha mencapai 'happy ending' serta menekankan kebajikan Prasana selain menghilangkan rasa rindu ibu terhadap anaknya.

“Saya juga menekankan bahawa pihak PDRM sedang berusaha untuk mengesan Patmanathan tetapi tidak menghebahkan kepada media demi kepentingan awam,” kata saksi pertama defendan itu.

Abdul Hamid berkata beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan atau memberi petunjuk bahawa dirinya atau PDRM tidak menahan Patmanathan walaupun tahu lokasinya.

“Saya telah menyatakan dalam beberapa sidang media bahawa usaha dan tindakan dijalankan untuk mengesan serta menangkap Patmanathan. Berdasarkan rekod, saya dan PDRM melaksanakan usaha dan tindakan yang wajar bagi mematuhi perintah mahkamah untuk melaksanakan waran komital terhadap Patmanathan.

“Pada bila-bila masa, saya dan PDRM tidak membuat apa-apa tinggalan tanggungjawab dalam melaksanakan waran komital kerana siasatan, usaha dan tindakan anggota serta pegawai PDRM untuk mengesan dan menangkap Patmanathan adalah berterusan sehingga kini,” katanya.

Kepada soalan Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi mengenai perintah mandamus yang mengarahkan polis menangkap Patmanathan, Abdul Hamid berkata semasa memegang jawatan KPN, beliau amat komited memastikan perintah itu dilaksanakan dan menggandakan usaha mengesan lelaki berkenaan.

“Arahan saya jelas, saya tidak bermain dengan sentimen politik, agama serta sandiwara dalam kes ini. Saya amat simpati dengan Indira… saya arahkan seorang pegawai untuk bertemu Indira dengan menjelaskan serta meyakinkan beliau yang saya sendiri ambil berat terhadap penderitaan yang dialaminya dan saya minta Indira sendiri datang bersemuka dengan saya,” katanya.

Indira pula berkata Prasana masih belum dikembalikan kepadanya kerana KPN tidak mengambil sebarang tindakan hingga hari ini.

“Defendan pertama (KPN) menyatakan dalam kenyataan medianya pada 27 Jan 2020 bahawa defendan pertama arif akan lokasi Patmanathan dan sedang berusaha mencapai ‘happy ending’ untuk plaintif. 

“Kenyataan defendan pertama dengan jelas menunjukkan bahawa beliau mempunyai pengetahuan lokasi Patmanathan tetapi gagal untuk menangkap lelaki itu dan mengembalikan semula Prasana kepada saya,” menurutnya dalam pernyataan saksi.

Raja Ahmad Mohzanuddin Shah kemudian menetapkan 7 Mei ini untuk kedua-dua pihak berhujah.

Indira diwakili peguam Rajesh Nagarajan, Sachpreetraj Singh Sohanpal, Pavitra Loganathan dan Vigines Shankar.

Menerusi saman yang difailkan pada 28 Okt 2020, Indira mendakwa KPN telah dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan Prasana yang kini berusia 17 tahun kepadanya.

Prasana Diksa dilarikan Muhammad Riduan ketika berusia 11 bulan sejurus selepas lelaki itu memeluk Islam.

Plaintif juga mendakwa kelakuan kesemua defendan secara langsung menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya itu berlanjutan sehingga hari ini dan Muhammad Riduan berjaya melarikan diri.

Pada 2009, Muhammad Riduan meng-Islamkan tiga anak mereka tanpa persetujuan Indira sebelum ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak penjagaan namun pada 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama satu pihak ketiga-tiga anak mereka sebagai batal dan tidak sah.

Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan penuh kanak-kanak itu kepada Indira pada 2010 manakala pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengesahkan perintah mandamus Mahkamah Tinggi yang mengarahkan polis dan perayu menangkap Muhammad Riduan serta mendapatkan semula Prasana untuk dikembalikan kepada Indira.

-- BERNAMA