[TERKINI] Amir Hamzah Jalankan Tugas Menteri Ekonomi Berkuat Kuasa Serta-Merta – RMK13 Jadi Tumpuan | Berita Lanjut di Sini
MALAYSIA

PDRM tumpas gerakan militan di Malaysia, tahan 36 warga Bangladesh

Shafiqa Azami 27/06/2025 | 06:45 MYT
Saifuddin berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang gerakan ekstremis asing yang cuba menjadikan Malaysia sebagai pangkalan rekrut, transit atau perlindungan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 36 warga Bangladesh yang terlibat dalam gerakan militan berasaskan ideologi Islamic State (IS) dalam beberapa serbuan di Selangor dan Johor.

Ringkasan AI
  • Seramai 36 warga Bangladesh ditahan oleh PDRM dalam operasi berfasa di Selangor dan Johor kerana disyaki terlibat dengan gerakan militan berasaskan ideologi Islamic State (IS).
  • Kumpulan tersebut dipercayai menyebarkan fahaman pelampau, menubuhkan sel rekrut, mengumpul dana dan merancang untuk menggulingkan kerajaan sah di negara asal mereka.
  • Lima individu telah didakwa di mahkamah, 15 dikenakan pengusiran dan 16 lagi sedang disiasat; kerajaan menegaskan Malaysia tidak akan dijadikan pangkalan operasi militan dan akan terus memperkukuh risikan serta penguatkuasaan keselamatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata hasil risikan Cawangan Khas PDRM mendapati kumpulan tersebut menyebarkan fahaman pelampau itu dalam komuniti mereka di Malaysia.
"Mereka juga dikesan menubuhkan sel pengrekrutan, mengumpul dana, dan merancang untuk menggulingkan kerajaan sah di negara asal.
"Malaysia tidak akan dijadikan pangkalan operasi militan atau pusat transit kepada mana-mana gerakan ekstremis. Sebarang cubaan ke arah itu akan ditangani," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, operasi dilaksanakan secara berfasa bermula 24 April di Selangor dan Johor.
Katanya, lima individu telah didakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam dan Johor Bahru di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan.
"Seramai 15 lagi dikenakan perintah pengusiran, manakala 16 individu sedang disiasat lanjut," katanya.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang gerakan ekstremis asing yang cuba menjadikan Malaysia sebagai pangkalan rekrut, transit atau perlindungan.
“KDN akan terus memperkukuh keupayaan risikan, menggandakan penguatkuasaan dan bekerjasama dengan agensi keselamatan dalam dan luar negara,” katanya.
#Saifuddin Nasution #gerakan militan #IS #terkini #PDRM