Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
MALAYSIA

PDRM tumpu usaha kukuhkan sinergi teknologi moden, modal insan

Umavathi Ramayah 10/10/2025 | 06:50 MYT
Mohd Khalid berkata, tumpuan utama PDRM kini adalah memastikan teknologi seperti AI dan sistem berasaskan IT digabungkan dengan kemahiran serta kepakaran pegawai dan anggota. - Gambar/ Ikqwan Lee/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpukan usaha memperkukuh sinergi antara teknologi moden dan modal insan dalam mempertingkat kecekapan pasukan menghadapi cabaran keselamatan era digital dan jenayah yang semakin kompleks.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tumpuan utama PDRM kini adalah memastikan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan sistem berasaskan IT digabungkan dengan kemahiran serta kepakaran pegawai dan anggota bagi memperkukuh keupayaan pasukan.

"Fokus utama kita adalah memastikan AI dan teknologi berasaskan IT disinergikan bersama modal insan, iaitu pegawai dan anggota yang dilatih.

"Dengan adanya sinergi ini, saya percaya ia mampu mempercepatkan pelaksanaan tugas pasukan, khususnya dalam aspek siasatan dan pencegahan jenayah yang semakin maju dan kompleks masa kini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Inspektor Percubaan Bilangan 13 Siri 1/2025 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini pada Jumaat.

Seramai 345 Inspektor Percubaan berjaya menamatkan program latihan selama sembilan bulan.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Mohd Khalid turut mengingatkan mereka menjadi pegawai yang jujur, tegas dan bijaksana dalam menegakkan keadilan serta menjaga maruah institusi PDRM.

"Pelatih dibekalkan dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai integriti yang harus dijadikan pegangan hidup dan panduan dalam menjalankan tugas, melunaskan tanggungjawab dan amanah di lapangan nanti.

"Jadilah pegawai yang jujur, tegas dan bijaksana dalam menegakkan keadilan serta menjaga maruah institusi PDRM," katanya.



#Polis Diraja Malaysia #kecerdasan buatan #Ketua Polis Negara #PDRM