Pecah mesin ATM, kumpulan perompak larikan lebih RM260,000

Hilmi Malik
Disember 14, 2020 08:24 MYT
Premis serbaneka yang terlibat dalam kes pecah mesin ATM di Taman Meru Indah Klang awal pagi Isnin. Foto: PDRM
KLANG: Sekumpulan penjenayah memecahkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan melarikan wang tunai lebih RM260,000 dalam rompakan di sebuah kedai serbaneka di Taman Meru Indah Klang awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisoner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, suspek telah menggunakan gas 'Oxy Acetylene' untuk memecahkan mesin ATM berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati kejadian pada jam 5.15 pagi itu melibatkan seramai empat hingga lima suspek bertopeng berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Suspek juga sebelum itu telah menyembur cat hitam ke arah kamera CCTV bagi mengelakkan perbuatan mereka dirakam,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Nurulhuda, kumpulan suspek mengambil masa selama 30 hingga 40 minit untuk melarikan kesemua wang tunai tersebut.
Katanya, polis sedang giat memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
#Klang #pecah ATM #PDRM #Mesin ATM #wang tunai #rompakan #kedi serbaneka #Taman Meru Indah #Ketua Polis Daerah Klang Utara #Nurulhuda Mohd Salleh