'Pecat Waytha!', Geras beri masa 40 hari

Harits Asyraf Hasnan
Disember 25, 2018 11:22 MYT
Geras akan membuat satu memorandum yang tarikh serahanya akan ditentukan kemudian. - Astro AWANI
Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) akan menyerahkan memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bagi mendesak supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dipecat.
Presiden Geras, Abu Bakar Mohamed menegaskan sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal memecat Waytha dalam tempoh 40 hari mulai hari ini (Selasa, 25 Disember), satu perhimpunan besar-besaran akan diadakan.
“Selepas ini, Geras tidak akan habis di sini sahaja. Kita akan membuat satu memorandum yang tarikh serahanya akan ditentukan kemudian.
“Kita juga akan serahkan memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk akhirnya kepada Dr Mahathir,” beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Aman ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moorthy’ di sini.
Pada himpunan yang dianggarkan dihadiri lebih 1,000 orang itu, mereka menggariskan tujuh tuntutan selain keadilan untuk Adib dan pemecataan Waytha dan Exco Kerajaan Selangor, V. Ganabatirau.
“Kita juga mahu kerajaan menguatkuasakan Akta Kontrak Sosial kepada generasi akan datang serta meminta mana-mana individu mahupun menteri tidak sesekali menghina agama Islam sebagai agama rasmi yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Selain itu, kita juga meminta kerajaan negeri mahupun pusat mengambil tindakan kepada mana-mana rumah ibadat yang wujud secara haram supaya perkara yang sama seperti di Seafield tidak berulang.
“Kita juga meminta jangan ada cubaan menghina kedudukan raja-raja Melayu serta penjawat awam di negara ini. Geras juga menolak ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum),” kata Abu Bakar.

Laungan takbir dan selawat mengiringi perjalanan mereka ke Dataran Seni Klang, lebih kurang 600 meter dari Masjid Bandar Diraja Klang @501Awani pic.twitter.com/KyiyQiae5U

— Asyraf Hasnan AWANI (@AsyrafAWANI) December 25, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Kesemua mereka sebelum itu berkumpul di Masjid Bandar Diraja Klang bagi menunaikan solat asar serta solat sunat jenazah ghaib sebelum berarak sambil berselawat ke Dataran Seni Klang kira-kira jam 5 petang tadi.
Selain Geras, antara badan bukan Kerajaan lain yang turut serta perhimpunan aman itu adalah Gerakan Srikandi Malaysia (GSIM), Angkatan Laksamana Bukit Jati Klang (ALBJ), Badan Amal Tarbiyah Sejagat (BATAS), Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun Malaysia (SERUMPUN) dan Kebajikan Sejagat Malaysia (SEJAGAT).
Beberapa pemimpin wakil NGO tersebut turut menyampaikan pidato masing-masing yang dalam himpunan yang berakhir dengan aman tepat 6.30 petang.
PDRM turut menempatkan lebih 600 pegawai dan anggota dari Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan Klang Selatan termasuk anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis trafik di sekitar lokasi perhimpunan berkenaan.
#anggota bomba #gerakan rakyat malaysia #Geras #insiden kuil #justice4adib #Muhammad Adib #P Waytha Moorthy #Perhimpunan Aman #Tun Dr Mahathir Mohamad