BERKENALAN dengan kanak-kanak perempuan di platform media sosial dan mempengaruhi mereka untuk melakukan hubungan seks. Trend itu didapati semakin berkembang dan membimbangkan.

Golongan lelaki hidung belang itu akan memujuk mangsa dengan kata-kata indah dan mengaburi mata mereka dengan hadiah sebelum mangsa didedahkan dengan perlakuan lucah.

Kanak-kanak yang mempunyai sifat ingin tahu, kemudian berani untuk mengakses laman web yang memaparkan aksi lucah dan melihat gambar tidak senonoh sehingga ketagihan.

Pelaku kemudian mengambil kesempatan berjumpa dengan mangsa yang akhirnya menjebakkan mereka kepada perlakuan seks bebas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, dalam kejadian ini, pelaku atau suspek akan mengambil kesempatan dengan merakam perlakuan seks mereka, sama ada untuk tujuan kewangan mahupun peribadi.

Menurutnya, bagi tempoh dua tahun iaitu 2021 dan 2022, sebanyak 3,360 kes rogol dilaporkan.

“Pada tahun 2021, sejumlah 1,605 kes direkodkan manakala tahun 2022 mencatatkan 1,755 kes, sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 150 kes.

“Dalam tempoh itu, kategori usia 13 hingga 15 tahun ialah peratusan mangsa tertinggi iaitu 1,788 kes, diikuti kategori 16 hingga 18 tahun (706 kes), atas 18 tahun (530 kes), 10 hingga 12 tahun (325 kes), enam hingga sembilan tahun (58 kes) dan bawah enam tahun (13 kes),” katanya eksklusif kepada Sinar Harian.

Siti Kamsiah berkata, usia 13 hingga 15 tahun mencatatkan jumlah tertinggi kerana peringkat itu merupakan peralihan daripada umur kanak-kanak kepada peringkat awal remaja.

Katanya, golongan berkenaan paling terdedah dengan internet dan platform media sosial.

“Salah satunya perasaan ingin mencuba, pendedahan kepada perkara baharu di internet selain didorong oleh penyalahgunaan internet dan media sosial oleh pihak yang mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak,” katanya.

Mendedahkan modus operandi pelaku, beliau berkata, suspek atau golongan pedofilia melihat kecenderungan kanak-kanak di media sosial seperti meminati artis, idola dan sebagainya.

Menurutnya, pelaku akan mula mendekati mangsa di media sosial seperti Instagram, OMI, Michat, TikTok dan Wechat untuk berkenalan sebagai rakan sebelum membina hubungan bagi mendapatkan kepercayaan mangsa.

“Dari situ pelaku akan mula bercakap perkara berunsur seksual, memujuk dan meletakkan mangsa ke dalam satu tekanan hingga menyerahkan gambar atau video lucah.

“Mangsa yang menganggap mereka disayangi kemudian menyerahkan gambar atau video bogel dan sebagainya,” katanya.

Siti Kamsiah berkata, suspek terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan kebanyakan lebih berusia kerana memiliki sumber kewangan yang mampu mengumpan dari segi hadiah dan wang ringgit.

“Perasaan ingin mencuba menyebabkan kanak-kanak mudah terjebak dengan aktiviti seks bebas dan berdasarkan statistik kes seksual, 70 peratus mangsa ialah kanak-kanak,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, mangsa yang terjerat diugut akan disebarkan gambar atau video perlakuan mereka kepada ahli keluarga.

“Ada kes suspek ugut dan sebar gambar atau video atas faktor mangsa tidak mahu mengikut kehendak untuk melakukan hubungan seks.

“Ada juga kes di mana kanak-kanak ini diugut supaya memberikan wang tunai dan ada mangsa telah mengandung hingga akhirnya terdesak dan menceritakan kejadian itu kepada ibunya,” katanya.

Jelasnya, pada tahun 2021, terdapat 183 kes bagi kes ugutan bagi tujuan sebar gambar atau video lucah mangsa, manakala tahun 2022 pula sebanyak 133 kes.

Katanya, kes seumpama itu ibarat satu trend yang melanda golongan kanak-kanak hari ini.

“Ada pelaku yang mempunyai ramai kekasih termasuk kanak-kanak untuk timbal balas seks dan kewangan.

“Suspek tidak mengambil masa lama hingga mereka boleh terjebak dengan seks dan ada yang mengambil masa hanya dalam satu atau dua hari. Ini ibarat seks bebas dan mereka tiada lagi peduli hal agama serta prinsip kerana mahu mencuba,” katanya.

Kes buang bayi meningkatSiti Kamsiah berkata, kes rogol di negara ini berada pada tahap membimbangkan kerana 70 peratus mangsa ialah kanak-kanak.

Dedahnya, dalam tempoh dua tahun itu, purata keseluruhan mangsa yang mengandung akibat kes rogol ialah sebanyak 22.44 peratus atau 754 orang.

“Bagi tahun 2021 sebanyak 22.74 peratus iaitu 365 orang, manakala tahun 2022 pula sebanyak 22.17 peratus iaitu seramai 389 orang,” katanya.

Beliau berkata, terdapat peningkatan kes buang bayi yang dipercayai membabitkan golongan bawah umur dan orang dewasa yang mengamalkan seks bebas tanpa nikah pada tahun ini.

Menurutnya, perlakuan sumbang itu dipengaruhi perbuatan menonton video lucah dan seumpamanya.

“Polis percaya video sumbang mangsa juga dijual oleh suspek di grup tertutup seperti di Telegram.

“Kumpulan ini ada pengikut yang mahukan pornografi kanak-kanak kerana polis mengesan wujudnya komuniti ini berdasarkan kes dan siasatan yang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat dan memantau laman web lucah selain penguatkuasaan dalam penyalahgunaan medium Internet dan media sosial.

Pantau gajet anakPemantauan ketat termasuk penggunaan gajet oleh anak-anak perlu dilakukan bagi melindungi mereka daripada terjebak dengan pengaruh negatif di internet.

Siti Kamsiah berkata, ibu bapa perlu memantau aktiviti anak termasuk penggunaan gajet.

“Semak laman sesawang yang anak pernah layari dan mengambil tahu semua platform media sosial yang sering mereka gunakan.

“Ini kerana ada kes yang kita terima kanak-kanak perempuan menggunakan telefon bimbit ibunya untuk menonton video lucah selepas didedahkan perkara itu oleh rakannya,” katanya.

Jelasnya, ibu bapa perlu menegur perlakuan anak sekiranya mendapati mereka terlalu taasub mempamerkan atau memuat naik aktiviti harian di media sosial.

Katanya, anak-anak tidak memikirkan atau menyedari bahawa tindakan mereka itu boleh mengundang perhatian pelaku seksual.

“Selain itu, ibu bapa mesti peka mengenai trend jenayah masa kini dan menyampaikan kebimbangan dan kesedaran jenayah kepada pengetahuan anak-anak agar lebih berhati-hati dalam pergaulan,” katanya.

Tambah Siti Kamsiah, usah berdiam diri atau bersekongkol dengan pelaku untuk menyelesaikan kes dengan cara mudah atau perbuatan yang memberikan keuntungan kepada kedua-dua pihak tanpa mengambil tindakan untuk membela hak mangsa.

“Segera buat laporan polis supaya penjenayah mendapat hukuman setimpal atas apa yang dilakukannya, malah ia sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan lebih ramai kanak-kanak menjadi mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, dalam usaha mengatasi jenayah seumpama itu, PDRM akan terus meningkatkan program dan pencegahan jenayah seksual melibatkan kerjasama pelbagai peringkat dan agensi yang bertujuan memberi kesedaran kepada pelbagai lapisan masyarakat.

“Kita akan memperkasakan keperluan sumber manusia dan sumber logistik bagi meningkatkan keupayaan dan membanteras jenayah ini,” katanya.

Siti Kamsiah berkata, jenayah itu akan memberi impak negatif pada masa depan kanak-kanak.

“Jika ramai kanak-kanak hanyut dan runtuh selepas terjebak dengan kes sebegini, ia akan menghancurkan masa depan negara,” katanya.


JENAYAH KES ROGOL

Tahun 2021 - 1,605 kes

Tahun 2022 - 1,755 kes

JUMLAH = 3,360 kes


PECAHAN KATEGORI MANGSA ROGOL

- Bawah 6 tahun - 13 orang

- 6 hingga 9 tahun - 58 orang

- 10 hingga 12 tahun - 325 orang

- 13 hingga 15 tahun - 1,788 orang

- 16 hingga 18 tahun - 706 orang

- Atas 18 tahun - 530 orang

JUMLAH = 3,420 orang



MANGSA ROGOL YANG HAMIL

Tahun 2021 - 365 orang

Tahun 2022 - 389 orang

JUMLAH = 754 orang


MODUS OPERANDI

- Cari mangsa di media sosial

- Berkenalan

- Pujuk dan beri hadiah hingga jadi kekasih

- Terjebak dengan pelakuan seks


*Artikel asal disiarkan di Sinar Harian