MALAYSIA

Pegawai, anggota AKPS perlu kekalkan tahap integriti, elak salah guna kuasa

Bernama 12/01/2026 | 15:45 MYT
Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata beliau sama sekali tidak berkompromi dengan segala aktiviti salah guna kuasa atau rasuah yang boleh mencemarkan imej agensi serta negara. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Pegawai dan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) perlu mengekalkan tahap integriti tertinggi serta mengelak daripada terlibat dalam sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa.


Ringkasan AI
  • Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menegaskan kepentingan menjaga integriti tinggi dalam menjalankan tugas untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa serta rasuah yang boleh mencemarkan imej agensi dan negara.
  • Beliau menitikberatkan penggunaan teknologi dan media sosial untuk mengesan aktiviti tidak bermoral serta memaklumkan bahawa sebarang penyalahgunaan kuasa akan ditindak dengan tegas tanpa kompromi.
  • Mohd Shuhaily menyerahkan watikah kepada tiga komander baru AKPS dari latar belakang berbeza, menekankan bahawa pelantikan tersebut berdasarkan kelayakan, pengalaman, dan kepakaran dalam pengurusan pintu masuk negara selepas penubuhan AKPS pada Oktober 2024.


Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata beliau sama sekali tidak berkompromi dengan segala aktiviti salah guna kuasa atau rasuah yang boleh mencemarkan imej agensi serta negara.

Beliau berkata teknologi serta pengaruh media sosial yang ada ketika ini membolehkan segala aktiviti tidak bermoral itu dikesan dan sebarang perbuatan salah laku mudah didedahkan.

"Kami sentiasa mengingatkan pegawai AKPS supaya tidak terjebak dalam apa jua bentuk salah guna kuasa mahupun rasuah kerana akan sentiasa ada mata memandang.

"Sekiranya dirakam dan sebagainya, tindakan yang amat keras (akan diambil) dan seperti mana yang saya sebut, saya tidak akan berkompromi," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan watikah komander-komander AKPS di sini hari ini.

Beliau berkata setiap komander AKPS yang dilantik perlu mengambil tanggungjawab melaksanakan transformasi atau inisiatif yang boleh memberikan impak kepada negara.

"Komander mestilah sangat praktikal dan pragmatik dalam penugasan. Kalau dia hanya duduk di pejabat dan memberi arahan tanpa tahu apa yang berlaku di bawah, akan ada kesilapan komunikasi antara lapangan dan orang yang memimpin.

"Sekiranya itu berlaku, tidak ada penyelarasan, saya tidak ada langsung rasa terhalang untuk membuat pertukaran," katanya.

Pada majlis itu, Mohd Shuhaily menyerahkan watikah pelantikan kepada Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal yang dilantik Komander Pintu Masuk Pelabuhan Klang, AKPS.

Turut menerima watikah adalah Pegawai Tadbir Diplomatik Mohd Safrie Zakaria yang dilantik Komander Pintu Masuk KLIA Terminal 1, AKPS dan Penguasa Kastam Farah Azura Mohd Shargawi pula memegang jawatan Komander Pintu Masuk Pelabuhan Kuantan, AKPS.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shuhaily berkata pelantikan ketiga-tiga komander baharu AKPS daripada latar belakang jabatan dan agensi yang berbeza dibuat berdasarkan kelayakan, pengalaman serta kepakaran masing-masing dalam pengurusan pintu masuk negara.

Beliau berkata susulan pewartaan penubuhan AKPS pada Oktober 2024, sebanyak 22 pintu masuk telah diwartakan di bawah kawal selia AKPS.

"Daripada jumlah tersebut sebanyak tujuh jawatan Komander Pintu Masuk telah diisi setakat tahun lepas daripada 22 perjawatan Komander Pintu Masuk," katanya.

-- BERNAMA




#Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan #pegawai AKPS #integriti #salah guna kuasa