MALAYSIA

Pegawai, anggota polis ditahan kes kehilangan barang di inap desa

Bernama 03/09/2025 | 07:10 MYT
Shazeli berkata penyewa terbabit mendakwa kehilangan barangan berharga berjumlah ratusan ribu ringgit selain mendapati keadaan bilik yang berselerak. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Seorang pegawai dan beberapa anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan barangan peribadi di sebuah banglo inap desa di Kajang pada 28 Ogos lepas.


Ringkasan AI
  • Seorang pegawai dan beberapa anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan barangan peribadi di sebuah inap desa di Kajang pada 28 Ogos.
  • Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, selepas penyewa melaporkan kehilangan barangan bernilai ratusan ribu ringgit dan keadaan bilik yang berselerak selepas serbuan.
  • Serbuan dilakukan susulan aduan bunyi bising, dipercayai berkaitan aktiviti hiburan, dan penahanan dibuat untuk membantu siasatan lanjut.


Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata pegawai dan anggota terbabit ditahan petang semalam susulan laporan dibuat seorang daripada penyewa inap desa tersebut sehari selepas kejadian.

Beliau berkata laporan diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, iaitu curi dalam bangunan.

"Semakan mendapati sebelum itu terdapat serbuan dijalankan pada 28 Ogos kira-kira 2 pagi selepas polis menerima maklumat berhubung bunyi bising dipercayai akibat aktiviti hiburan di premis berkenaan.

"Berikutan itu, serbuan telah dilakukan oleh pasukan terbabit bagi mengesahkan maklumat tersebut," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Shazeli berkata berdasarkan laporan, penyewa terbabit mendakwa kehilangan barangan berharga berjumlah ratusan ribu ringgit selain mendapati keadaan bilik yang berselerak selepas serbuan.

Beliau berkata polis kemudian bertindak menahan pegawai dan beberapa anggota yang terlibat dalam serbuan berkenaan.

"Penahanan ini dilakukan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan," katanya dan menambah siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA




#anggota polis ditahan #kes kehilangan barangan peribadi #banglo inap desa #Ketua Polis Selangor #Shazeli Kahar #Kajang