[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Pegawai, anggota terlibat kes kehilangan barang di inap desa dihadkan tugas

Bernama 11/09/2025 | 15:15 MYT
Shazeli pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini. - Gambar Bernama
SHAH ALAM: Seorang pegawai dan beberapa anggota polis yang ditahan berhubung kes kehilangan barangan peribadi di sebuah banglo inap desa di Kajang pada 28 Ogos lepas telah dikenakan tindakan had tugas.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan kes masih berjalan dan beberapa kenyataan telah direkodkan setakat ini.

"Kes itu belum selesai dan siasatan masih berjalan.

"Kesemua yang terlibat masih dikekalkan dalam tugas harian cuma bidang tugas mereka dihadkan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan pegawai terbabit bersama beberapa anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang ditahan selepas didakwa terlibat dalam kehilangan barangan peribadi bernilai ratusan ribu ringgit milik seorang daripada penghuni inap desa tersebut selepas serbuan polis ke atas premis itu.

Menurut laporan itu, serbuan dilakukan oleh pasukan terbabit selepas polis menerima aduan berhubung bunyi bising, dipercayai akibat aktiviti hiburan di premis berkenaan.

Pegawai dan anggota terlibat ditahan pada petang 29 Ogos bagi membantu siasatan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.

Mengulas sama ada terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh pegawai dan anggota polis terbabit ketika serbuan, Shazeli berkata hal itu belum boleh didedahkan kerana siasatan masih berjalan.

"Itu saya tidak boleh dedahkan lagi kerana masih dalam peringkat siasatan pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Selangor," katanya.

-- BERNAMA



#integriti #ijap desa #barangan peribadi #peringkat siasatan