MALAYSIA

Pegawai bank didakwa lagi atas 104 pertuduhan rasuah berjumlah RM398,100

Bernama 23/10/2025 | 10:50 MYT
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon oleh pihak pendakwaan dan menetapkan 17 Dis ini untuk sebutan semula kes. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Seorang pegawai bank didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 104 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM398,100 sebagai upah proses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan yang melebihi had kelayakan.


Ringkasan AI
  • Pegawai bank Zayme Zanee Othman didakwa di Mahkamah Sesyen atas 104 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM398,100 sebagai upah memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan yang melebihi had kelayakan.
  • Tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan, dengan kesalahan didakwa berlaku antara November 2020 hingga Oktober 2024 di cawangan bank di Bandar Baru Bangi, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
  • Mahkamah membenarkan jaminan RM70,000 dengan syarat tambahan termasuk penyerahan pasport dan laporan bulanan kepada SPRM, serta menetapkan 17 Disember untuk sebutan semula kes.


Tertuduh, Zayme Zanee Othman, 43, bagaimana pun mengaku tidak bersalah dn minta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Pada 16 Okt lepas, Zayme Zanee turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas sembilan pertuduhan menerima rasuah wang berjumlah RM12,600 yang dipindahkan atas talian ke dalam akaun Maybank miliknya daripada seorang individu berusia 42 tahun dan sebuah syarikat.

Berdasarkan semua pertuduhan hari ini, Zayme sebagai Ketua Unit Pembiayaan sebuah cawangan bank di Seri Kembangan didakwa menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM398,100 menerusi pindahan dalam talian ke akaun bank syarikat milik isterinya daripada akaun individu dan syarikat sama.

Perbuatan itu dilakukan sebagai upah membantu memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan yang turut membuat permohonn sama di beberapa institusi kewangan lain secara serentak sehingga menyebabkan mereka mempunyai pinjaman melebihi had kelayakannya.

Zayme didakwa melakukan semua kesalahan itu di sebuah cawangan bank di Bandar Baru Bangi, dekat sini, antara 19 Nov 2020 hingga 4 Okt 2024 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin, bersama syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan, selain tidak dibenarkan berkomunikasi dengan saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Peguam Arik Zakri Abdul Kadir dan Ahmad Kamal Abu Bakar yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guam mereka memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan selain menanggung keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon oleh pihak pendakwaan dan menetapkan 17 Dis ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA



#Mahkamah Sesyen #Zayme Zanee Othman #pegawai bank #pinjaman peribadi