Pegawai Daerah nafi stadium sempena namanya, dakwa 'Ffira Mikah' dari bahasa Greek, Arab

Astro Awani
Disember 13, 2020 03:32 MYT
Hakim Ariff Md Noor menjelaskan nama baharu stadium itu mempunyai maksud tersirat dalam bahasa Arab dan Greek, yang secara kebetulan menyamai nama beliau sekiranya diterbalikkan. -Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md Noor menolak dakwaan yang tular bahawa beliau menamakan Stadium Mini Ffira Mikah di daerah itu sempena ejaan namanya.
Jelas beliau, nama baharu stadium itu mempunyai maksud tersirat dalam bahasa Arab dan Greek, yang secara kebetulan menyamai nama beliau sekiranya diterbalikkan.
“Tiada kena mengena dengan nama saya.
"Nama stadium mini ini mempunyai maksud tersirat. Nama itu dipilih dan dicadangkan dalam mesyuarat pentadbiran.
"Dalam bahasa Sepanyol atau Greek, ‘Ffira’ bermaksud sesuatu yang hebat, manakala ‘Mikah’ dalam bahasa Arab sempena nama malaikat,” katanya kepada akhbar Sinar Harian pada Ahad.
Malah, beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap berkata nama baharu itu diberikan selepas penambahbaikan dilakukan dan ia adalah salah satu usaha penjenamaan semula stadium berkenaan bagi menarik perhatian awam.
“Saya bukan nak kejar glamor. Hasrat saya mahu Padang Terap nampak lebih bersih, cantik dan ceria.
"Saya tak mahu daerah ini kekal macam dahulu, mereka tak tahu cerita sebenar dan buat andaian begitu,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan orang ramai berhubung nama stadium tersebut yang tular di media sosial dan dipersoalkan oleh orang awam.
Stadium Mini Ffira Mikah Kuala Nerang dimiliki Majlis Daerah Padang Terap dan dirasmikan oleh beliau selaku Pegawai Daerah pada 7 Disember lalu selepas kerja-kerja menaik taraf dilakukan.
Malah, sebuah video berdurasi dua minit mempromosikan stadium berkenaan yang diurus oleh sebuah persatuan bola sepak itu juga turut tular berikutan isu tersebut.
Jelasnya lagi, pihaknya tiada masalah untuk menukar nama kontroversi itu dan bersedia menurunkan papan nama Ffira Mikah bagi melenyapkan dakwaan.
“Selepas ini, ia akan dikenali sebagai Stadium Mini Kuala Nerang dan kita akan turunkan papan nama yang mengundang kontroversi itu,” ujarnya.
#Stadium Mini #pegawai daerah #Padang Terap #Hakim Ariff Md Noor #Arab #Greek #Ffira Mikah #bahasa Sepanyol