KUALA LUMPUR:Pegawai-Pegawai Kanan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengakhiri siri pertemuan dan program mereka pada tahun ini dengan Mesyuarat Penutup Pegawai-Pegawai Kanan (CSOM) secara maya yang diadakan semalam.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), CSOM dipengerusikan oleh Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) APEC 2020 Hairil Yahri Yaacob, menandakan mesyuarat terakhir APEC di peringkat pegawai bagi tahun ini.

Katanya Pegawai-Pegawai Kanan memuji pencapaian utama APEC, termasuk peranan Malaysia dalam menyediakan kepimpinan dan memastikan kejayaan APEC 2020, walaupun menghadapi cabaran berkaitan pandemik COVID-19.

"Mereka menyatakan bahawa, memasuki peringkat akhir APEC 2020, Malaysia telah menunjukkan prestasi yang amat baik dalam menguruskan impak daripada COVID-19 mengenai Mesyuarat APEC dan menyatakan harapan kepada elemen positif ini berterusan hingga ke acara kemuncak minggu depan, Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC (AELM)," menurut MITI dalam kenyataan hari ini.

Pegawai-Pegawai Kanan turut mengiktiraf pengurusan Malaysia dalam memberikan beberapa kenyataan bersama di peringkat menteri, termasuk untuk perdagangan, kewangan kesihatan, wanita dan keselamatan makanan.

"Mereka menggariskan komitmen mereka untuk terus bekerjasama dengan Malaysia, dengan matlamat untuk memberikan baki tiga dokumen peringkat tinggi untuk tahun ini, iaitu Visi Pasca-2020, Pernyataan Mesyuarat Menteri APEC (AMM) dan Deklarasi Pemimpin."

MITI berkata tahun ini, APEC 2020 menjalankan tugas mereka di bawah tema, 'Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran', yang diupayakan melalui tiga bidang keutamaan, iaitu Meningkatkan Naratif Perdagangan dan Pelaburan; Penyertaan Ekonomi Inklusif melalui Ekonomi Digital dan Teknologi serta Memacu Kemampanan Inovatif.

"Pegawai-Pegawai Kanan turut mengambil perhatian beberapa laporan penting berkaitan bidang keutamaan tersebut, termasuk Laporan Tahunan oleh Jawatankuasa Perdagangan dan Pelaburan kepada Menteri; Laporan Pegawai Kanan mengenai Kerjasama Ekonomi dan Teknikal; serta Program Kerja untuk Pelan Tindakan Ekonomi Digital dan Internet APEC," katanya.

Pegawai-Pegawai Kanan turut menekankan harapan mereka terhadap AMM pada 16 Nov, 2020, selain AELM pada 20 Nov, 2020 dan mengesahkan sokongan mereka untuk meningkatkan lagi kerjasama ekonomi serantau.

Pada akhir mesyuarat, Hairil mengucapkan terima kasih kepada semua Pegawai Kanan atas sokongan mereka kepada Malaysia dalam menerajui APEC dalam tempoh mencabar ini.

"Peralihan daripada perjumpaan secara fizikal kepada format maya sepenuhnya merupakan perjalanan yang mencabar untuk semua, lebih-lebih lagi dengan lapan zon waktu yang berbeza," katanya.

Bagaimanapun, Hairil terus optimis bahawa persahabatan dan perpaduan yang sama akan diperluaskan ke New Zealand sebagai tuan rumah Mesyuarat APEC yang akan datang.

-- BERNAMA