MALAYSIA

Pegawai kanan TLDM paksa kontraktor sewa di dua buah hotel miliknya - Azam

Khalis Khadir 30/01/2026 | 15:45 MYT
Menurut Azam, kontraktor yang menjalankan projek dengan TLDM itu memerlukan penginapan untuk pekerja mereka, dan keadaan tersebut dieksploitasi oleh pegawai berkenaan bagi kepentingan peribadi. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didapati menyalahguna kedudukan dengan memaksa kontraktor menyewa penginapan di dua hotel miliknya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan, kontraktor yang menjalankan projek dengan TLDM itu memerlukan penginapan untuk pekerja mereka, dan keadaan tersebut dieksploitasi oleh pegawai berkenaan bagi kepentingan peribadi.

“Terbaharu sekali kes TLDM, bayangkan seorang pegawai kanan TLDM ada dua buah hotel. Dalam kes ini, dipaksa enam, tujuh ke lapan kontraktor menyewa hotelnya dengan meletak pekerjanya… sebabnya kontrak dengan TLDM menggunakan pekerja luar, mereka perlu penginapan.

“Dipaksanya untuk bayar, jadi nak tanya sekarang saya nak tuduh pemberi ke penerima? Ini yang penerima ini ada dua hotel. Kehidupan mereka dalam satu tekanan dan paksaan, bisnes dia juga akan bankrap,” katanya dalam Podcast Kolar Hitam SPRM yang disiarkan pada Jumaat.

Sebelum ini, seorang pegawai kanan TLDM direman kerana disyaki terbabit rasuah dengan mengesyorkan serta melantik syarikat kroni bagi mendapatkan kerja di tempat beliau bertugas.

Siasatan juga mendapati pegawai kanan TLDM itu disyaki memiliki harta melebihi jumlah emolumen diterima, termasuk beberapa aset tidak alih serta kemasukan kira-kira RM2 juta daripada sumber diragui ke akaun peribadi dan dua akaun syarikat perhotelan miliknya.


#Azam Baki #SPRM #TLDM #Rasuah