Pegawai maritim hilang ketika daki Telaga Tujuh ditemui selamat

Adie Sufian Zulkefli
Mei 25, 2023 11:19 MYT
Mohd Ridhaudden (duduk, kanan) ditemui selamat selepas tersesat dan turun dari bukit melalui laluan kereta kabel (Skycab) pada jam 5 petang Khamis. -PDRM
LANGKAWI: Pegawai Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang dilaporkan hilang ketika mendaki Air Terjun Telaga Tujuh ditemui selamat.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, Mohd Ridhaudden Rosman, 32, membuat panggilan kepada isterinya mengatakan dia tersesat dan telah turun dari bukit melalui laluan kereta kabel (Skycab) pada jam 5 petang Khamis.
“Sebaik sampai di kaki bukit, mangsa telah menghubungi isterinya dan mengatakan dia tersesat sewaktu mendaki bersendirian pada petang Rabu.
“Isteri mangsa kemudian menghubungi polis memaklumkan suaminya selamat.
"Dengan penemuan mangsa selamat operasi mencari menyelamat (SAR) dihentikan kira-kira jam 5.10 petang tadi.
“Mohd Ridhaudden telah dibawa ke Hospital Sultanah Maliha untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sebelum ini Astro AWANI melaporkan seorang lelaki tidak pulang ke bilik penginapannya selepas keluar untuk mendaki bersendirian di kawasan Air Terjun Telaga Tujuh pada petang Rabu.
BACA: Pegawai APMM dipercayai hilang ketika mendaki Telaga Tujuh
Mangsa bertugas di Bahagia Carilamat (SAR) Maritim Malaysia Putrajaya dan datang ke pulau ini terlibat dalam Pameran Antarabangsa Aeroangkasa dan Maritim Langkawi 2023 (LIMA '23).
#Maritim Malaysia #Mohd Ridhaudden Rosman #Air Terjun Telaga Tujuh #turun ikut laluan kereta kabel