MALAYSIA

Pegawai penyelidik rugi lebih RM600,000 angkara pelaburan saham tidak wujud

Bernama 09/06/2025 | 08:23 MYT
Mangsa terjebak dengan skim berkenaan selepas dimasukkan ke dalam satu kumpulan di aplikasi WhatsApp pada 21 Mac lepas.
KUANTAN: Seorang pegawai penyelidik kerugian lebih RM600,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 57 tahun itu, mula terjebak dengan skim berkenaan selepas dimasukkan ke dalam satu kumpulan di aplikasi WhatsApp pada 21 Mac lepas.

Beliau berkata mangsa kemudiannya telah membuat pelaburan awal RM14,000 dan berjaya mengeluarkan pulangan sebanyak RM1,000, yang membuatkannya yakin untuk meneruskan pelaburan.

Yahaya berkata wanita itu telah menambah pelaburan sehingga mencecah lebih RM600,000 menggunakan wang simpanannya, dengan melakukan 28 transaksi ke tiga akaun bank berbeza bermula 23 April sehingga Rabu lepas.

"Namun, mangsa mula menyedari ditipu apabila dia cuba menggeluarkan wang sebanyak RM50,000, tetapi suspek telah meminta bayaran sehingga RM200,000 sebagai caj perkhidmatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Yahaya berkata mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

#scam #pelaburan tidak wujud #WhatsApp #mangsa kerugian #polis