MALAYSIA
Pegawai rancangan tanah didakwa tipu urusan baik pulih pusat pengumpulan getah
Eddy Khirin Bunaim didakwa atas pertuduhan menipu seorang individu berkaitan kerja baik pulih pusat pengumpulan getah, dua tahun lepas. - Foto Bernama
SEREMBAN: Seorang Pegawai Rancangan Tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang individu berkaitan kerja baik pulih pusat pengumpulan getah, dua tahun lepas.
Ringkasan AI
- Pegawai Felda, Eddy Khirin Bunaim, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu berkaitan kerja baik pulih pusat pengumpulan getah, melibatkan pembayaran RM12,000 kepada pihak yang tidak dilantik.
- Kes didakwa berlaku pada 16 Mac 2023 di sebuah bank di Bahau, di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.
- Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan syarat tambahan, walaupun SPRM mencadangkan jaminan RM15,000; sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Ogos.
Eddy Khirin Bunaim, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu seorang lelaki berusia 68 tahun dengan mendorong warga emas itu menurunkan tandatangan pada cek milik Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Lui Selatan 1 bagi tujuan pembayaran berjumlah RM12,000 kepada seorang pembekal menerusi akaun bank.
Pembayaran itu didakwa sebagai pendahuluan bagi kerja-kerja membaik pulih Pusat Pengumpulan Getah Felda Lui Selatan 1 dan 2, sedangkan pembekal tersebut bukan pihak yang dilantik untuk menjalankan kerja berkenaan. Mangsa tidak akan menandatangani cek tersebut sekiranya tidak diperdaya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Bahau pada 16 Mac 2023 dan tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebat, selain boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zainab Yahaya menawarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan sehingga perbicaraan selesai.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian meminta jaminan minimum dikenakan atas alasan perlu menyara empat anak yang masih bersekolah selain sedang menyambung pengajian.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara dan menetapkan syarat tambahan seperti dicadangkan. Mahkamah turut memaklumkan bahawa wang jaminan tidak akan dikembalikan sekiranya syarat itu gagal dipatuhi.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Ogos ini.
-- BERNAMA