MALAYSIA

Peguam ditahan disyaki subahat seludup dadah ke penjara

Bernama 01/01/2026 | 07:41 MYT
Lelaki berusia 32 tahun itu ditangkap di Jalan Hiliran di Pulau Kambing, kira-kira 10.45 pagi, 29 Dis lepas.
KUALA TERENGGANU: Seorang peguam ditahan kerana dipercayai bersubahat dengan seorang banduan bagi menyeludup masuk dadah ke dalam Penjara Marang.


Ringkasan AI
  • Seorang peguam ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah ke Penjara Marang bersama seorang banduan.
  • Peguam tersebut juga disiasat atas dakwaan terlibat dalam kes penipuan dan pemerasan terhadap seorang ahli perniagaan di Dungun.
  • Polis meminta bantuan orang ramai untuk mencari seorang suri rumah, Nurul Norasikin Aladin, bagi membantu siasatan kes tersebut.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditangkap di Jalan Hiliran di Pulau Kambing, dekat sini, kira-kira 10.45 pagi, 29 Dis lepas.

Beliau berkata suspek dipercayai bersubahat membawa masuk dadah ke penjara terbabit pada 23 Dis lepas melalui seorang banduan lelaki yang juga anak guamnya selepas selesai menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu di sini.

"Setelah perbicaraan, banduan berkenaan dibawa pulang ke Penjara Marang dan diarah melalui pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas.

"Ketika pemeriksaan, pihak penjara mendapati terdapat objek asing dalam badan banduan itu lalu dihantar ke klinik penjara untuk pemantauan rapi," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Khairi berkata banduan berkenaan kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Merchang, Marang untuk pemeriksaan, sebelum dibawa semula ke klinik Penjara Marang untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata dalam tempoh dua hari, pihak penjara berjaya menemukan 123 gram pil Yaba, 21 gram ganja dan Erimin 5 (13 gram) yang kesemuanya bernilai RM16,000 setelah banduan berkenaan membuang air besar.

Jumlah dadah yang dikeluarkan itu, katanya mencukupi untuk kegunaan kira-kira 800 penagih.

"Susulan itu, pihak penjara telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Peguam itu kini direman hingga 4 Jan ini untuk siasatan lanjut Seksyen 107(C) dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Khairi berkata polis kini meminta kerjasama orang ramai membantu mengesan seorang suri rumah, Nurul Norasikin Aladin, 30, beralamat di Kampung Batin, Seberang Takir untuk membantu siasatan kes itu.

Beliau berkata peguam itu turut disiasat mengikut Seksyen 348 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam kes membabitkan kurungan salah serta pemaksaan menyerahkan harta di sebuah bengkel di Paka, Dungun, 8 Dis lepas.

"Mangsa dalam kes ini ialah seorang ahli perniagaan yang didakwa dipaksa menyerahkan lima kereta, sebuah motosikal dan geran tanah selepas gagal menyelesaikan hutang pelaburan berjumlah RM353,000 oleh pemungut hutang ketika dalam tahanan.

"Mangsa telah berjumpa dengan suspek (peguam) untuk mendapatkan nasihat perundangan pada 15 Dis lepas. Suspek kemudian menghubungi pemungut hutang dan setelah perbincangan, mangsa diminta membayar sebanyak RM9,000 untuk mendapatkan satu daripada kereta terbabit," katanya.

Mohd Khairi berkata siasatan dijalankan terhadap suspek bagi mendapatkan maklumat mengenai ejen pemungut hutang dan keadaan kereta milik mangsa.

-- BERNAMA

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Mengapakah seorang peguam ditahan oleh pihak polis di Terengganu?
    A: Peguam tersebut didakwa bersubahat dengan seorang banduan untuk menyeludup dadah ke Penjara Marang.
  • Q: Berapakah jumlah dadah yang berjaya dikesan oleh pihak penjara?
    A: Pihak penjara berjaya menemui 123 gram pil Yaba, 21 gram ganja, dan Erimin 5 (13 gram) bernilai RM16,000.
  • Q: Apakah tindakan yang diambil terhadap peguam yang disyaki terlibat dalam kes menyeludup dadah?
    A: Peguam tersebut kini direman sehingga 4 Januari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 107(C) dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
  • Q: Siapakah individu yang diminta kerjasama untuk membantu siasatan kes ini?
    A: Polis meminta kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan seorang suri rumah bernama Nurul Norasikin Aladin, 30, beralamat di Kampung Batin, Seberang Takir.
  • Q: Apakah kesan perbuatan peguam terhadap seorang ahli perniagaan yang disebutkan dalam artikel?
    A: Ahli perniagaan tersebut didakwa dipaksa menyerahkan lima kereta, sebuah motosikal, dan geran tanah berjumlah RM353,000 selepas gagal menyelesaikan hutang pelaburan.



#Dadah #peguam ditahan #Polis Terengganu #seludup dadah ke penjara