Seorang peguam kanan Persekutuan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Pulau Pinang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM600,000.

Tertuduh, Lim Cheah Yit, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof, hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, Lim didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pusat hiburan keluarga di Gurney, George Town jam 7 malam pada 8 Mac lepas.

Lim didakwa meminta suapan wang tunai RM500,000 daripada Goh Kim Heong sebagai dorongan supaya mempengaruhi Pengarah Pendakwaan negeri bagi menuduh Chan Eng Leong di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa melakukan kesalahan di sebuah hotel di Bukit Jambul apabila meminta wang tunai RM100, 000 daripada orang sama bagi tujuan sama pada jam 12.19 tengah hari 1 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut perenggan 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar dan Fairos Danial Mazlan manakala tertuduh diwakili peguam Ang Chun Pun.

TPR menawarkan wang jaminan RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan seorang penjamin serta memohon syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun peguam tertuduh membuat rayuan agar jaminan dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20, 000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali serta pasport diserahkan kepada Mahkamah.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 17 Ogos depan.