Kempen #MansuhAktaHasutan yang akan dilancarkan Khamis ini merupakan 'promosi' berpanjangan selama satu tahun untuk memberi penerangan mengenai pemansuhan Akta Hasutan 1948.

Pengerusi Jawatankuasa Peguam Muda Kebangsaan, Syahredzan Johan berkata, ini merupakan kali pertama diadakan bagi menuntut Kerajaan mengotakan janji untuk memansuhkan Akta Hasutan.

"Kempen ini sebenarnya satu kempen yang akan dianjurkan Jawatankuasa Peguam Muda Kebangsaan di bawah Majlis Peguam yang merupakan simbol menentang Akta Hasutan peninggalan British.

"Ini pertama kali kempen kebangsaan nasional yang akan dilancarkan. Ia usaha kami bagi menuntut kerajaan supaya mengotakan janji untuk memansuhkan Akta Hasutan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Pelancaran kempen #MansuhAktaHasutan akan diadakan pada Khamis ini di Bangunan Majlis Peguam di sini.

Jelasnya, pada Julai 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak menyatakan Kerajaan akan memansuhkan beberapa undang-undang termasuk Akta Hasutan.

Bagaimanapun, ia disifatkan tidak tertunai selain tiada usaha serius untuk memansuhkan undang-undang berkenaan.

Ujarnya, seramai 50 tenaga penggerak utama akan menjadi tonggak kempen berkenaan.

"Kita ada lebih daripada 50 ahli jawatankuasa dan tenaga penggerak kempen ini.

"Bukan semuanya peguam, ada yang belum jadi peguam, penuntut, aktivis dan ada rakyat biasa selain aktivis mahu melibatkan diri dalam kempen ini," jelasnya.

Dalam pada itu katanya, antara penceramah pada hari pelancaan kempen itu ialah, Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong, Bekas Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Pergerakan Kesederhanaan Global, Datuk Saifuddin Abdullah.