KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak kini sedang memohon pengangguhan pendengaran untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes rayuan SRC International Sdn Bhd yang dijadual didengar hari ini.

Ini susulan salah seorang pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri itu dilaporkan dijangkiti COVID-19.

Peguam utama pasukan itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan mahkamah melalui surat, yang didedahkan kepada media lewat malam tadi, bahawa salah seorang peguamnya didapati positif COVID-19 manakala yang lain telah menjadi kontak rapat.

Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar permohonan yang difailkan oleh Najib pada 1 Dis lalu, di mana Ahli Parlimen Pekan itu meminta mahkamah rayuan membenarkan dan mengarahkan bukti viva voce (bukti lisan) Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, antara lain, untuk diambil bagi tujuan rayuan Najib.

Mahkamah rayuan juga bersedia untuk menyampaikan keputusan rayuan Najib dalam kes SRC International pada Rabu (esok).

BACA: Sabitan hukuman seleweng dana SRC, nasib Najib diketahui esok

Dalam suratnya, Muhammad Shafee meminta mahkamah mengosongkan perbicaraan untuk kedua-dua prosiding hari ini dan esok kerana peguam, yang merupakan anaknya, Muhammad Farhan, telah disahkan positif COVID-19 pada 6 Dis.

Seorang lagi peguam di firmanya, Zahria Eleena Redza, turut memaklumkan, dua lagi anggota pasukan pembelaan Harvinderjit Singh dan Farhan Read, bahawa ibunya positif COVID-19 berdasarkan keputusan ujian pada 6.08 petang semalam.

“Pada 4 Dis, Muhammad Shafee bersama Muhammad Farhan dan isterinya telah menghadiri majlis dan bertemu dengan rakan-rakan terdekat serta saudara mara yang turut melibatkan keluarga Zahria Eleena termasuk ibunya, Datin Edwina Patricia Totu,” kata Muhammad Shafee.

Selepas pasukan itu dimaklumkan oleh Zahria Eleena tentang ibunya, semua peguam di firma itu telah membuat ujian saringan mereka sendiri, kata Muhammad Shafee.

Hasil ujian yang dijalankan ke atas Muhammad Farhan didapati positif dalam tiga kit ujian berbeza, manakala selebihnya negatif.

“Justeru, status MySejahtera kesemua mereka yang terlibat telah bertukar kepada kontak rapat kerana menunggu masa yang sesuai untuk menjalankan ujian PCR.

“Berdasarkan alasan di atas, kita mempunyai tanggungjawab sosial terhadap mahkamah dan pihak terlibat untuk memaklumkan perkara itu kepada semua orang.

“Kami tidak menjangka perkara ini berlaku tetapi menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan keselamatan mereka yang terlibat dalam rayuan ini,” tambahnya.

Seorang pegawai mahkamah berkata, perbicaraan pagi ini akan diteruskan secara hibrid di mana panel hakim dan pihak pendakwaan akan berada di mahkamah terbuka manakala pasukan pembelaan akan mengambil bahagian melalui Zoom.