KUALA LUMPUR: Peguam Tun Dr Mahathir Mohamad akan menasihatkan bekas Perdana Menteri itu agar tidak menyertai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan (RCI Batu Puteh) sekiranya pengerusi suruhanjaya itu tidak diganti.

Peguam, Rafique Rashid berkata, pelantikan Tun Md Raus Sharif sebagai Pengerusi RCI Batu Puteh bertentangan dengan prinsip keadilan asasi kerana mendakwa Md Raus adalah pihak yang amat berkepentingan.

Menurut beliau, RCI sewajarnya dilihat bersih dan tidak memihak agar orang awam tidak akan mempersoalkan kewibawaan dapatan suruhanjaya tersebut.

“Namun, pelantikan Md Raus telah mewujudkan satu bahaya ‘bias’ sebenar yang akan mencemarkan keseluruhan prosiding RCI dan menjejaskan kewibawaan dapatannya.

“Atas nama keadilan bagi Dr Mahathir, kami dengan rendah diri memohon kerajaan menggantikan Pengerusi RCI dengan seorang yang tidak berkonflik kepentingan.

“Dalam maksud mencari kebenaran di sini, Md Raus wajar menarik diri daripada posisi tersebut. Sekiranya tidak, kami tiada pilihan lain kecuali menasihatkan Dr Mahathir agar tidak menyertai RCI,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, RCI untuk Mengkaji Pengendalian Perkara berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan ditubuhkan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119] selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan memaklumkan, Sultan Ibrahim turut memperkenan lantikan tujuh Pesuruhjaya RCI yang dipengerusikan Md Raus dan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Datuk Zainun Ali selaku Timbalan Pengerusi.

Turut dilantik sebagai ahli ialah pengamal undang-undang, Datuk Baljit Singh Sidhu; mantan Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Johan Shamsuddin Sabaruddin; Pakar Undang-Undang Perlembagaan dan Pentadbiran, Profesor Datin Faridah Jalil; Pegawai Kewangan Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Pengarah Laut Wilayah Selatan, Jabatan Laut Malaysia, Dickson Dollah. - Sinar Harian