Peguam Negara perlu hadir sidang khas Parlimen Isnin ini - Azalina

Astro Awani
Julai 21, 2021 08:48 MYT
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said menyarankan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun hadir pada sidang khas Parlimen bermula Isnin depan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said menyarankan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun agar hadir pada sidang khas Parlimen bermula Isnin depan bagi menjawab soalan dibangkitkan Ahli Parlimen mengenai ordinan yang diwartakan sepanjang tempoh penguatkuasaan Proklamasi Darurat.
Jelasnya, Peguam Negara bukan hanya bertanggungjawab sebagai penasihat perundangan kepada Jemaah Menteri, malah kepada Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan di bawah Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan.
"Sebaiknya, Peguam Negara perlu turut serta dalam sidang khas itu. Ramai Ahli Parlimen ada persoalan yang belum terjawab. Peguam Negara bukan saja penasihat perundangan kepada Jemaah Menteri tetapi juga penasihat kepada Agong, yang bersama-sama Dewan Rakyat dan Dewan Negara, membentuk Parlimen.
"Untuk memadamkan keraguan terhadap risiko konflik kepentingan dalam tindakan Peguam Negara, mana-mana Peguam Negara perlu diberi hak untuk didengar sendiri di Parlimen dan bukannya melalui pihak ketiga," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang juga menggesa lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen diwujudkan.
Ia bagi membolehkan sebahagian besar Ahli Parlimen terlibat dalam perbincangan terhadap keputusan kerajaan dan menteri sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.
"Ramai masih ragu-ragu bagaimana sidang khas selama lima hari dapat memberi kesan bermakna dalam memastikan Kabinet dapat bertanggungjawab atas tindakan mereka selama tujuh bulan terakhir ini. Terdapat 88 Ahli Parlimen yang bukan ahli jawatankuasa Parlimen," tegasnya lagi.
Sidang khas Parlimen bakal bermula pada Isnin sehingga 2 Ogos, sebelum sesi penuh Dewan Rakyat dibuka pada 6 September depan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang turut senada dengan Azalina yang berpendapat Peguam Negara sepatutnya hadir dalam sidang Parlimen Khas supaya dapat menjawab persoalan berhubung Ordinan-ordinan Darurat.
Menurutnya, perkara berkenaan boleh dilakukan dengan mudah dengan melantik beliau menjadi seorang Senator dan menjadikan beliau seorang Ahli Kabinet seperti dalam peruntukan perkara 145(5) Perlembagaan Persekutuan supaya beliau boleh menghadiri sidang Parlimen dan memberikan maklum balas mengenai perkara berbangkit dalam sidang tersebut.
Memandangkan masih ada lima hari sebelum persidangan ini bermula, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak sepatutnya berhadapan dengan sebarang masalah untuk melakukan perkara ini.
Apa-apa pun, susunan di mana Peguam Negara bercakap melalui Menteri Undang-undang adalah satu susunan yang tidak mencukupi dan tidak memuaskan, tambah Kit Siang.
#Azalina Othman Said #Dewan Rakyat #Yang di-Pertuan Agong #Azalina Othman #Parlimen #Dewan Negara #kabinet #Peguam Negara #pengerang #Politik Malaysia #Sidang khas Parlimen #Malaysia