PUTRAJAYA: Bermula 15 Sept ini, prosiding permohonan reman terhadap orang yang disyaki (OYDS) memerlukan kehadiran peguam yang mewakilinya.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata oleh itu, pegawai penyiasat hendaklah memastikan OYDS telah melantik peguam dan peguam itu telah dimaklumkan untuk hadir bagi pengendalian prosiding reman tersebut.

"Bagi OYDS yang tidak diwakili peguam atau tidak berkeupayaan melantik peguam, OYDS tersebut akan dimaklumkan oleh majistret akan hak OYDS untuk mendapatkan khidmat bantuan guaman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sekiranya OYDS seorang warganegara dan tidak disiasat di bawah mana-mana undang-undang pencegahan, penculikan dan melarikan orang," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Arahan Amalan Ketua Hakim Negara Bilangan 11 Tahun 2021 Pengendalian Prosiding Permohonan Reman Di Bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bertarikh 10 Sept lepas bagi mengemas kini tatacara dan memastikan keseragaman bagi mahkamah di seluruh Malaysia.

Katanya arahan itu berkuat kuasa pada 15 Sept ini manakala Arahan Amalan Ketua Hakim Negara 2003 dan Perenggan 2A Pekeliling Ketua Pendaftar 2012 (Garis Panduan Reman dan Pengendalian Kes-Kes Jenayah Selaras dengan penubuhan YBGK) adalah dibatalkan.

Tengku Maimun berkata pengendalian prosiding reman hendaklah ditangguhkan ke suatu tempoh masa yang munasabah pada hari sama bagi membolehkan peguam hadir untuk mewakili OYDS.

Bagaimanapun, beliau berkata pengendalian prosiding permohonan reman akan diteruskan sekiranya OYDS tidak mahu diwakili peguam atau tiada peguam yang hadir setelah tempoh masa munasabah diberikan.

Katanya sebelum permohonan reman didengar di hadapan majistret, pegawai penyiasat perlu memastikan dokumen berkaitan telah difailkan melalui sistem e-Kehakiman termasuk salinan diari siasatan yang lengkap dan OYDS hadir pada prosiding itu.

Selain itu, Tengku Maimun berkata OYDS perlu memaklumkan kepada majistret mengenai keadaan kesihatannya semasa prosiding permohonan reman.

"Sekiranya majistret mendapati bahawa OYDS memerlukan rawatan, pegawai penyiasat hendaklah memastikan bahawa OYDS itu dibawa ke hospital bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan yang sewajarnya," kata beliau.

Beliau berkata sekiranya majistret tiada, permohonan reman melibatkan siasatan kesalahan jenayah yang boleh dihukum mati atau penjara untuk tempoh 14 tahun atau lebih, melibatkan OYDS yang merupakan individu berprofil tinggi, kes di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan kes berkepentingan awam, ia hendaklah dikendalikan oleh Majistret ex-officio.

"Majistret ex-officio adalah Hakim Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendaftar dan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi (bagi permohonan reman di Semenanjung Malaysia), Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah atau mana-mana pegawai lain yang disenaraikan di bawah Jadual Keempat Akta Mahkamah Rendah 1948," katanya.

Tengku Maimun juga berkata semua prosiding permohonan reman hendaklah dikendalikan di mahkamah atau mana-mana pusat tahanan yang telah diwartakan untuk tujuan reman pada setiap hari termasuk cuti hujung minggu dan cuti umum.

-- BERNAMA