MALAYSIA

Peguam persoal polis tidak ambil pakaian, barang peribadi Zara Qairina untuk siasatan

Sinar Harian 03/08/2025 | 10:49 MYT
Peguam berkata, ketiadaan bedah siasat dan tindakan siasatan yang terhad menimbulkan kebimbangan bahawa kertas siasatan yang dihantar ke Jabatan Peguam Negara adalah tidak lengkap dan tidak menyeluruh.
KOTA KINABALU: Peguam kepada ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir memaklumkan bahawa pakaian dan barang peribadi yang dipakai oleh remaja itu ketika kejadian masih belum diambil oleh pihak polis untuk tujuan siasatan.


Ringkasan AI
  • Pakaian dan barang peribadi Allahyarham Zara yang diserahkan oleh hospital masih belum diambil oleh pihak polis untuk siasatan, meskipun ia merupakan bahan bukti penting.
  • Ketiadaan bedah siasat dan tindakan siasatan yang terhad menimbulkan kebimbangan bahawa kertas siasatan yang dihantar ke Jabatan Peguam Negara adalah tidak lengkap dan tidak menyeluruh.
  • Pasukan peguam berharap Perdana Menteri dapat menasihati Peguam Negara agar kertas siasatan dikembalikan kepada polis serta menyokong cadangan untuk bedah siasat dan inkues bagi menentukan punca sebenar kematian Zara.


Pasukan peguam, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, yang mewakili Noraidah Lamat, 45, berkata demikian susulan perkembangan terbaharu berkaitan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kertas siasatan yang akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara.

"Kami ingin memaklumkan berkenaan pakaian dan barang peribadi yang dipakai oleh Zara ketika beliau ditemui di bawah bangunan asrama pada subuh 16 Julai lalu.

"Semua pakaian dan barang tersebut telah diserahkan kepada ibu Zara oleh pihak hospital pada hari yang sama dan kini berada dalam jagaan seorang wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik sebagai wakil tunggal kepada ibu Zara," katanya pada Ahad.

Menurut peguam, sejak 17 Julai hingga kini, pihak polis tidak pernah mengambil atau memohon untuk mendapatkan pakaian dan barang tersebut bagi tujuan siasatan.

"Kami sangat terkejut dengan perkara ini kerana sepanjang pengalaman kami mengendalikan kes-kes jenayah di mahkamah, pihak polis lazimnya akan merampas semua barangan yang dipakai oleh mangsa yang disyaki mati akibat jenayah untuk tujuan siasatan," katanya.

Tambah mereka, pakaian dan barang-barang tersebut merupakan bahan bukti penting yang sepatutnya diperiksa dan dianalisis secara forensik untuk menentukan sama ada kematian Zara melibatkan unsur jenayah atau sebaliknya.

"Kegagalan pihak polis berbuat demikian menimbulkan tanda tanya serius sama ada siasatan mereka hanya tertumpu kepada kematian mengejut atau bunuh diri, sedangkan ibu Zara telah membuat beberapa laporan polis bagi memohon siasatan dijalankan atas kemungkinan wujud unsur jenayah," katanya.

Sehubungan itu, pasukan peguam berpendapat bahawa kertas siasatan yang dihantar ke Jabatan Peguam Negara adalah tidak lengkap.

"Kertas siasatan tersebut tidak menyeluruh dan mempunyai fokus yang sangat terhad. Lebih membimbangkan, tiada bedah siasat dilakukan terhadap jenazah Zara sebelum pengebumiannya," katanya.

Dalam pada itu, pasukan peguam turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas keprihatinannya terhadap kes Allahyarham Zara Qairina.

"Kami berharap beliau dapat menasihati Peguam Negara agar mengembalikan semula kertas siasatan kepada pihak polis, dan bersetuju dengan cadangan kami untuk mengadakan bedah siasat serta inkues dengan segera bagi menentukan punca sebenar kematian Zara, sekiranya wujud unsur-unsur jenayah dalam kematiannya," katanya.

Zara Qairina, 13, sebelum ini dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Kematian remaja itu mendapat perhatian meluas termasuk di media sosial selepas dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli di sekolah berkenaan.

Susulan itu, tanda pagar #JusticeForZara tercetus sebagai solidariti rakyat yang menuntut agar siasatan dijalankan secara telus dan adil. - Sinar Harian




#Zara Qairina #Perdana Menteri #hasil siasatan #punca kematian