Peguam Rosmah tidak sihat, prosiding ditangguhkan ke 3 Ogos depan

Fareez Azman
Julai 16, 2020 07:19 MYT
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin. - Gambar fail/BERNAMA
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan prosiding perbicaraan kes rasuah pembekalan dan pemasangan sistem solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak terhadap Datin Seri Rosmah Mansor selepas peguam belanya tidak sihat.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram menjelaskan bahawa peguam bela tertuduh, Datuk Akberdin Abdul Kader tidak dapat meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan ke-16, Rayyan Radzwill Abdullah hari ini.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudiannya menangguhkan perbicaraan yang akan bersambung 3 Ogos depan.
Isteri bekas Perdana Menteri itu berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima suapan sebanyak RM 6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.
Suapan itu didakwa diterima bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Suria Photovoltaic (PV) Hibrid bagi 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 billion oleh Kementerian Pendidikan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat membeli belah di ibu negara, di kediaman tertuduh di Jalan Langgak Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 hingga September 2017.
Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
#Kementerian Pendidikan #Kuala Lumpur #Projek Bersepadu Sistem Suria Photovoltaic #Projek PV #Putrajaya #Rasuah #Rosmah Mansor #solar #SPRM #suapan