Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Peguam sahkan wujud kecederaan pada jasad Zara Qairina

Sinar Harian 11/08/2025 | 04:20 MYT
Peguam keluarga mengesahkan wujud kecederaan pada jasad Zara Qairina dan menegaskan proses bedah siasat berjalan telus tanpa campur tangan pihak luar. - Sumber foto Sinar Harian (Gambar kecil: Zara Qairina)
KOTA KINABALU: Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengesahkan memang terdapat kecederaan pada tubuh remaja berusia 13 tahun itu, sebagaimana yang tersebar di media sosial hasil pemerhatiannya sepanjang proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).


Ringkasan AI
  • Peguam keluarga mengesahkan terdapat kecederaan pada tubuh Zara Qairina seperti yang tersebar di media sosial, termasuk kecederaan patah.
  • Shahlan Jufri memerhati keseluruhan proses bedah siasat selama lapan jam tanpa makan dan minum di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I.
  • Proses bedah siasat disifatkan telus, berintegriti dan bebas daripada campur tangan pihak luar.


Peguam Shahlan Jufri berkata, beliau berada di bilik bedah siasat selama lapan jam bagi memerhati keseluruhan prosedur yang dijalankan oleh pasukan forensik.

“Sudah tentu ada kecederaan, memang ada kecederaan. Kecederaan seperti yang kamu tahu di media sosial, begitulah. Yang selebihnya saya tidak boleh beritahu kerana masih dalam siasatan dan ia sulit.

“Seperti yang tersebar di media itu, saya tidak berapa ingat jumlah kecederaan, tetapi memang ada patah, memang ada kecederaan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HQEI di sini pada malam Ahad.

Beliau turut menegaskan proses bedah siasat berjalan dengan telus tanpa campur tangan pihak luar.

“Proses itu saya berpuas hati kerana tidak ada campur tangan mana-mana pihak, hanya mereka yang terlibat sahaja.

“Memang proses bedah siasat itu berjalan dengan telus, integriti sangat tinggi dan lancar,” tegasnya. - Sinar Harian







#Zara Qairina #bedah siasat #kesan kecederaan #peguam