Pejabat JAIM dipecah masuk, jadual UPKK 2017 disusun semula

Bernama
September 29, 2017 05:56 MYT
Othman berkata JAIM telah membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai kes pecah masuk berkenaan dan siasatan akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang. - Gambar fail
Jadual bagi peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi tahun 2017 disusun semula berikutan kejadian pecah masuk di Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) semalam menyebabkan tiga kertas soalan bagi tiga subjek hilang.
Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berkata bagaimanapun kejadian itu tidak menjejaskan pelaksanaan peperiksaan tersebut yang dijadualkan pada 2 hingga 5 Okt ini.
"Ini kerana Jakim telah menyediakan set soalan kedua bagi subjek-subjek tersebut dan penyusunan jadual baharu adalah bagi memastikan kelancaran peperiksaan UPKK 2017," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jadual baharu bagi UPKK 2017 adalah seperti berikut:
ISNIN (2 Okt)
2.15 petang hingga 3.45 petang - SIRAH
4 petang hingga 5.30 petang - ADAB (AKHLAK ISLAMIYAH) I
SELASA (3 Okt)
2.30 petang hingga 4 petang - LUGHAH AL-QURAN
RABU (4 Okt)
2.30 petang hingga 4 petang - ULUM SYARI'AH (AQIDAH DAN IBADAH)
4.15 petang hingga 5.15 petang - ADAB (AKHLAK ISLAMIYAH) II
KHAMIS (5 Okt)
2.30 petang hingga 4 petang - PELAJARAN JAWI DAN KHAT
Sementara itu, Othman berkata pihak JAIM telahpun membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai kes pecah masuk berkenaan dan siasatan akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang.
"Jakim memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi berikutan perkara ini," katanya.
-- BERNAMA
#Bahagian Pendidikan #hilang #Jabatan Agama Islam Melaka #jadual #JAIM #JAKIM #KAFA #kertas soalan #Othman Mustapha #pecah masuk #soalan kedua #Ujian Penilaian Kelas Kafa #UPKK