Pejabat Mohamad Sabu nafi terlibat promosi skim pelaburan patuh syariah

Bernama
Mei 27, 2023 05:20 MYT
Kenyataan itu menyebut Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga telah membuat laporan kepada pihak MCMC berhubung perkara berkenaan. - Facebook Mohamad Sabu
KUALA LUMPUR: Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menafikan menteri itu terlibat dalam promosi skim pelaburan patuh syariah seperti dalam satu poster menggunakan gambar beliau yang tular di media sosial.
Pejabat itu menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook Mohamad hari ini memaklumkan menteri itu tidak pernah memberi izin kepada mana-mana pihak untuk gambar beliau digunakan dalam sebarang promosi seumpama itu.
"Justeru penyalahgunaan ini perlu diberhentikan segera," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga telah membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung perkara berkenaan.
-- BERNAMA
#Mohamad Sabu #skim pelaburan patuh syariah #promosi skim pelaburan #poster palsu