Pejabat NCIA di Pulau Pinang, Cyberjaya beroperasi ketika PKP

Bernama
Januari 14, 2021 05:00 MYT
NCIA berkata semua program termasuk di pusat empowerNCER akan kekal beroperasi dengan aktiviti yang minimum dan mematuhi SOP.
KUALA LUMPUR: Pejabat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Pulau Pinang dan Cyberjaya akan terus beroperasi pada tahap minimum dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain itu, pejabatnya di Kedah, Perak dan Perlis akan meneruskan operasi sepenuhnya dengan mematuhi SOP di bawah PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).
"Bagi mengelakkan interaksi fizikal, penganjuran mesyuarat digalakkan berlangsung secara dalam talian. Kami akan menghubungkan dan menyokong pihak berkepentingan kami dalam tempoh ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pegawai-pegawai NCIA boleh dihubungi menerusi telefon bimbit dan emel masing-masing. Malahan, orang ramai juga boleh menghubungi sekretariat NCIA menerusi emel sce@ncer.com.my.
Sementara itu, NCIA berkata semua program termasuk di pusat empowerNCER akan kekal beroperasi dengan aktiviti yang minimum dan mematuhi SOP sementara menunggu pengumuman selanjutnya daripada kerajaan.
-- BERNAMA
#NCIA #perintah kawalan pergerakan #PKP #PKPB #operasi #Kedah #Perlis #SOP #pulau pinang #Cyberjaya