MALAYSIA

Pejabat perwakilan Malaysia disaran tingkat kecekapan tatakelola kewangan

Bernama 06/10/2025 | 21:40 MYT
Sebagai langkah penambahbaikan, Jabatan Audit Negara mengesyorkan agar Pejabat Perwakilan Malaysia mengambil tindakan bagi mempertingkatkan kawalan dalaman dan tatakelola kewangan.
KUALA LUMPUR: Pejabat Perwakilan Malaysia perlu memberi penekanan terhadap pematuhan peraturan kewangan bagi memastikan pengurusan kewangan sentiasa dalam keadaan teratur, cekap dan berkesan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 berhubung Penyata Kewangan Kerajaan 2024, pengauditan telah dijalan terhadap empat Pejabat Perwakilan Malaysia iaitu Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia; Wellington, New Zealand; dan Singapura, serta Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi, Vietnam.

Semakan mendapati tatakelola dan pengurusan kewangan di keempat-empat pejabat perwakilan adalah memuaskan secara keseluruhannya dengan peratusan pematuhan melebihi 80 peratusan.

"Pejabat Perwakilan Malaysia Hanoi menunjukkan tahap pematuhan yang tinggi iaitu 94.9 peratus bagi tujuh kawalan yang disemak," menurut laporan yang dibentang di Dewan Rakyat, di sini, pada Isnin.

Pengurusan kewangan di Pejabat Perwakilan Canberra, Singapura dan Wellington pula masing-masing merekodkan tahap pematuhan 83.5 peratus, 87.3 peratus, dan 86.1 peratus.

Pengauditan merangkumi tujuh kawalan utama dalam pengurusan kewangan iaitu pengurusan, terimaan, perbelanjaan, pengurusan panjar wang runcit/ panjar luar negeri dan pengurusan pendahuluan/cagaran rumah sewa.

Semakan turut dilakukan terhadap pengurusan aset dan stor serta pengurusan kenderaan kerajaan.

"Secara keseluruhannya, hanya satu daripada tujuh kawalan yang telah dipatuhioleh keempat-empat Pejabat Perwakilan Malaysia iaitu Pengurusan Pendahuluan/CagaranRumah Sewa," menurut laporan itu.

Sebagai langkah penambahbaikan, Jabatan Audit Negara mengesyorkan agar Pejabat Perwakilan Malaysia mengambil tindakan bagi mempertingkatkan kawalan dalaman dan tatakelola kewangan.

Antaranya, Kementerian Luar perlu menyusul isu perjawatan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam bagi memastikan pengisian perjawatan dibuat mengikut waran yang diluluskan.

"Selain itu, Kementerian Luar perlu mengambil tindakan selaras dengan hasrat Kerajaan untuk merasionalisasi keperluan perjawatan berdasarkan beban tugas, fungsi dan peranan Pejabat Perwakilan Malaysia bagi menjimatkan kos dan mengoptimumkan sumber," menurut LKAN itu.

-- BERNAMA







#Pejabat Perwakilan Malaysia #kewangan #Laporan Ketua Audit Negara LKAN #Penyata Kewangan Kerajaan 2024