JOHOR BAHRU: Pejabat PKR Cabang Johor Bahru yang terletak di Larkin Idaman, di sini terbakar, dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat, awal pagi tadi.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dalam kebakaran yang menjejaskan 10 peratus bahagian depan pejabat itu.

Katanya kejadian itu mengakibatkan bahagian pintu roller shutter di hadapan pejabat itu rosak teruk selain kesan asap dan debu kelihatan di luar dan dalam bangunan.

"Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berhampiran dan tinjauan di tempat kejadian, dipercayai kebakaran dimulakan dengan lima biji tayar dibakar di hadapan pintu pejabat itu.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada jemaah surau dan jiran premis berdekatan telah menarik punca api (tayar yang dibakar) itu untuk mengelakkan kebakaran lebih besar.

"Saya turut menerima ugutan bunuh menerusi mesej di laman sosial pada Khamis dan Jumaat lalu.

"Kejadian ini bukan hanya berbentuk sabotaj kepada saya mahupun Cabang Keadilan Johor Bahru, tapi sebenarnya sudah melibatkan isu nyawa, keselamatan, harta benda termasuk orang awam," katanya ketika ditemui di pejabat berkenaan di sini, hari ini.

Menurut Akmal, dia telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS).

Katanya, ini adalah kejadian kedua berlaku terhadap pejabat berkenaan yang dipercayai akibat perbuatan khianat.

Beliau berkata, kejadian kali pertama berlaku pada 2019 apabila pejabat itu disimbah cat merah, selain terdapat bangkai seekor ayam selain terdapat mesej ugutan.

"Cuma kita tidak boleh buat spekulasi, biar polis buat siasatan, tetapi bagi saya, saya akan terus bercakap mengenai isu rasuah atau salah guna kuasa, malah ini hanya akan beri semangat kepada kami untuk terus bercakap," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, mengesahkan menerima laporan berhubung dua kejadian itu.

Beliau berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api atau bahan letupan dengan niat hendak membinasakan rumah dan sebagainya.

"Laporan polis berhubung kes ugutan baharu diterima dan kita akan membuka siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.