IPOH: Seorang pejalan kaki mengalami kecederaan parah setelah terperosok dan tersepit di bawah kereta jenis BMW di Jalan Sultan Iskandar, di sini malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa lelaki yang dikenali sebagai Hemananth Tamil Selvan, 34, cedera parah setelah dipercayai dilanggar oleh kenderaan yang dipandu oleh seorang wanita.

Katanya, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 9.24 malam, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, ke lokasi.

"Setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati, kemalangan membabitkan sebuah kereta BMW melanggar seorang pejalan kaki lelaki.

"Mangsa tersepit di bawah kenderaan tersebut dan mengalami kecederaan parah, bagaimanapun wanita yang merupakan pemandu kereta berkenaan tidak cedera," katanya dalam kenyataan lewat malam Rabu.

Tambahnya, anggota bomba mengeluarkan mangsa tersepit dan menyerahkannya kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tindakan susulan.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Abd Rahman Abdullah itu tamat jam 9.58 malam.