Seorang penduduk kampung yang sedang membersihkan kawasan kebunnya dikejutkan dengan penemuan seekor ular sawa bersama 90 biji telur pada pagi Rabu.

Maasom Mahpudz, yang pada ketika itu sedang asyik membersihkan semak kebun, tergamam apabila terserempak dengan kelibat reptilia tersebut di bawah sebuah pokok nibong.

Katanya, beliau bernasib baik kerana sempat menyedari kehadiran ular seberat 90 kilogram yang sedang bersembunyi di kawasan rimbunan kayu itu.

"Sejurus selepas itu, saya terus menghubungi pihak Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) kerana saya yakin kesemua penduduk kampung tidak mempunyai kepakaran dan kelengkapan menangkap ular.

"Tambahan pula, ular sawa jenis batik ini saya lihat pada awalnya memang besar dan mustahil kami dapat mengeluarkannya tanpa bantuan JPAM," katanya kepada pemberita.

Telur-telur ular sawa yang dijumpai oleh pekebun tersebut.

Penemuan ular sepanjang kira-kira lima meter itu menarik perhatian penduduk Kampung Sungai Kerang kerana jarang dijumpai ular sawa sebesar itu sebelum ini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hilir Perak, SM (PA) Mohd Fazly Mohd Nawawi berkata, ular tersebut dapat ditangkap dalam masa 20 minit dengan kerjasama penduduk.

Jelasnya, pihaknya menerima panggilan sekitar 9.20 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.

"Sesampainya di lokasi, didapati ular sawa jenis batik itu tengah bersembunyi di bawah akar pokok nibong dan pihak bomba telah menjalankan kerja-kerja pengeluaran dengan segera.

"Kami juga menemui 90 biji telur bersama dengan ular tersebut," katanya kepada Astro AWANI.

Mohd Fazly berkata ular dan telur itu telah diserahkan kepada Pejabat Perhilitan Daerah Hilir Perak untuk tindakan selanjutnya.