Pekerja am maut dirempuh kereta dipercayai langgar lampu isyarat merah

Bernama
Julai 23, 2023 01:43 MYT
Keadaan motosikal ditunggangi mangsa yang dirempuh Perodua Viva yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Cherang, Jalan Dusun Raja, Kota Bharu pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Seorang pekerja am sebuah pasar raya maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh kereta jenis Perodua Viva yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Jalan Dusun Raja, di sini kira-kira 10.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata siasatan mendapati lelaki berusia 20 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 itu, dalam perjalanan dari arah Lundang ke bulatan Chempaka.
"Setibanya di lokasi, mangsa dirempuh kereta dipandu lelaki berusia 59 tahun yang dipercayai tidak berhenti di lampu isyarat merah dari arah Jalan Berek 12.
"Perlanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan raya dan kemudian terlanggar sebuah motosikal lain yang berhenti di simpang lampu isyarat arah bertentangan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya pemandu kereta dan penunggang sebuah motosikal jenis Honda yang berada berhampiran lampu isyarat tidak mengalami kecederaan.
Mohd Rosdi berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
--BERNAMA
#langgar lampu isyarat #lampu isyarat merah #penunggang motosikal maut #Polis Daerah Kota Bharu