Satu mesyuarat akan diadakan pada Khamis ini bagi membincangkan isu berkaitan pekerja asing.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran menjelaskan mesyuarat itu akan dihadiri Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa ahli Kabinet lain.

Perbincangan itu, jelasnya, akan turut memutuskan kementerian yang bertanggungjawab dalam mengurus pekerja asing di negara ini.

“Saya akan berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri (Muhyiddin) Khamis ini bagi perbincangan dengan beberapa ahli Kabinet mengenai beberapa perkara yang dibangkitkan, antaranya pengambilan pekerja asing.

“(Kerajaan) nak satu kementerian mengambil alih mengenai pekerja asing. Sekarang ia di bawah Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Satu keputusan muktamad akan dibuat pada Khamis,“ jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi dialog bersama Institut Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) di sini pada petang Selasa.