Seorang pekerja kedai dobi didakwa di Mahkamah Majistret Pasir Puteh, di sini hari ini atas tiga pertuduhan membunuh, cubaan membunuh dan cubaan merogol di Kampung Mujur, Bachok pada 30 Mac lalu.

Tertuduh, Khairul Azri Abdullah, 19, bagaimanapun hanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan cubaan membunuh.

Manakala, dua lagi pertuduhan tiada sebarang pengakuan direkodkan, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Dini Syazwan Ab Shukor.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membunuh sehingga menyebabkan kematian Mohamad Norhazun Mohd Nor, 27, pada 30 Mac antara jam 5 hingga 7 pagi, di lot 2792, Jalan Mujur, Bachok.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati mandatori.

Bagi pertuduhan kedua, khairul azri didakwa melakukan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Shahidan Mohamad Sabbri, 25, pada tarikh, waktu dan alamat yang sama.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa dengan niat cuba melakukan rogol terhadap seorang wanita juga pada tarikh, masa dan tempat yang sama dan didakwa mengikut seksyen 376 yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.


Mohd Dini Syazwan kemudiannya menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula bagi menunggu laporan kimia.

Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Gayathri Sambath manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki maut ditikam manakala dua lagi cedera termasuk seorang ibu tunggal dipercayai dirogol suspek.

Lelaki yang maut berusia 28 tahun ditikam di perut dan dada manakala rakannya, lelaki berusia 25 tahun cedera parah yang dikatakan berada di rumah wanita ibu tunggal berusia 40-an ketika kejadian berlaku.

Suspek dipercayai memecah masuk rumah wanita berkenaan sebelum meletakkan pisau di tengkuk mangsa dan mengancam merogolnya.