MALAYSIA

Pekerja kedai rugi lebih RM20,000 akibat kerja tidak wujud

Bernama 29/12/2025 | 13:30 MYT
Azli berkata mangsa membuat lapan bayaran ke akaun berbeza menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada rakan serta keluarga dari 26 hingga 28 Dis. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Seorang pekerja kedai roti kerugian RM27,147 selepas ditipu sindiket kerja sambilan tidak wujud, Khamis lepas.


Ringkasan AI
  • Seorang pekerja kedai roti ditipu sindiket kerja sambilan palsu sehingga kerugian RM27,147, suspek memperkenalkan diri sebagai wakil platform e-dagang popular.
  • Mangsa terpilih sebagai pemenang peraduan dan ditawarkan kerja sambilan 'like' dan 'view' hantaran di Instagram dengan bayaran lumayan, membuat lapan bayaran tetapi tiada keuntungan diperoleh.
  • Polis menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran kerja sambilan yang mudah dengan keuntungan besar, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata wanita 30 tahun itu dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai wakil platform e-dagang popular.

"Suspek memaklumkan mangsa terpilih sebagai pemenang satu peraduan dan ditawarkan membuat kerja sambilan 'like' dan 'view' hantaran di laman sosial Instagram dengan bayaran lumayan.

"Namun mangsa perlu membuat bayaran untuk mendapatkan tugasan dengan semakin banyak bayaran dibuat, semakin banyak tugasan dan keuntungan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azli berkata mangsa membuat lapan bayaran ke akaun berbeza menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada rakan serta keluarga dari 26 hingga 28 Dis.

Mangsa bagaimanapun curiga apabila suspek mendesaknya terus membuat pembayaran sedangkan tiada keuntungan diperoleh menyebabkan dia membuat laporan polis petang semalam.

Azli berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran kerja sambilan yang mudah dengan keuntungan lumayan.

-- BERNAMA


#Instagram #laman sosial #E-dagang #wang simpanan